Kekalahan Ustaz Nik Abduh: sekeh anak sindir bapa?
ANAK Menteri Besar Kelantan, Ustaz Nik Abduh bin Dato' Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat bin Raja Banjar yang merupakan Timbalan Ketua Dewan Pemuda Pas Kelantan tewas kepada YB Ustaz Abdul Latiff bin Tuan Guru Haji Abdul Rahman Sungai Durian yang sebelumnya merupakan Naib Ketua Dewan Pemuda Pas Kelantan.
Ada yang mengait dan mengkeranakan kekalahan Ustaz Nik Abduh bepunca dari dua siri tulisan dalam blognya yang menegur para penasihat ayahndanya.
Tetapi pada saya mengait dan mengkeranakan kekalahan Ustaz Nik Abduh kerana dua tulisannya adalah terlalu dangkal walaupun ayahndanya, malah mertuanya Ustaz Abdul Fatah Haron tidak berpihak kepada Ustaz Nik Abduh berhubung pertikaian tentang dua siri tulisan dalam blognya.
Kedua-duanya, yakni ayahnda dan mertuanya meletakkan Ustaz Nik Abduh pada takah dan posisi cukup gentleman, tanpa dibayangi oleh pengaruh ayahnda dan mertuanya yang ada kedudukan dalam Badan Perhubungan Pas Kelantan, beliau telah berdepan dengan lawannya.
Lagi pun serangan terhadap Ustaz Nik Abduh bukan baru sebenarnya. Beliau mula diserang, malah kerananya juga, ayahndanya pernah diserang dan saya pernah dengar dicerca di kedai-kedai kopi apabila beliau (Ustaz Nik Abduh) dilantik sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Majlis Perbandaran Kota Bharu (MPKB).
Nasib Ustaz Nik Abduh tidak jauh berbeza dengan Khairy Jamaluddin dan menantu Dato' Haji Nik Abdul Aziz yakni Ariff Fahmi. Apa pun jawatan yang disandang dan pencapaian kejayaan yang dicapai dipandang negatif belaka semata-mata kerana beliau anak Tok Guru, kerana Khairy menantu Pak Lah dan Ariff Fahmi menantu Tok Guru.
Rupanya tidak mudah dan bukan cukup bertuah sebenarnya menjadi anak dan menantu perdana menteri, menteri besar serta orang kenamaan dan berpengaruh, banyak fitnah, tohmahan, curiga dan prasangka yang terpaksa dihadapi.
Ustaz Nik Abduh juga dikaitkan sebagai proksi Haji Abdul Razak Abas (Abe Jak), malah ada dakwaan yang mengatakan kereta jenis mewah miliknya pun dihadiahkan oleh Abe Jak, menjadikan beliau dikatakan sering mempengaruhi ayahndanya supaya meluluskan kawasan balak untuk Abe Jak kerana termakan budi Abe Jak.
Bagaimanapun penjelasan lengkap isu pembelian kereta telah pernah dijelaskan oleh anak Abe Jak (Cikgu Mi) dalam blog saya http://www.ramlimelayu.blogspot.com yang juga berheadkan kapak jangak yang dimusnahkan oleh kalangan tertentu seminggu sebelum pilihanraya umum ke-12 bersama penjelasan tentang tidak benarnya dakyah kononnya YB Takiyuddin berkahwin dengan anak saudara Abe Jak, yakni anak perempuan Kamaruddin Abdullah (Abe Din) yang sengaja diada-adakan oleh kalangan tertentu.
Maknanya rasa tidak senang di kalangan tertentu dalam Pas Kelantan, terutama di kalangan dewan pemudanya terhadap Ustaz Nik Abduh bukan baru, malah kekalahannya kepada Ustaz Abdul Latiff pada saya adalah hasil dari perancangan dan gerakan yang telah memakan masa yang agak panjang sebenarnya.
Bagaimanapun saya amat kagum apabila dalam ucapan penangguhan muktmar. Ustaz Nik Abduh melahirkan rasa gembira dengan keputusan pertandingan walaupun tewas kerana ianya diputuskan oleh 112 perwakilan yang hadir.
Katanya beliau menerima kekalahan dengan gembira kerana telah dihukum oleh semua perwakilan dan beliau merakamkan ucapan taniah kepada Ustaz Abdul Latiff. Bagaikan sudah ternang lagi bersuluh sikap gentlemannya sehingga tidak timbul soal pengundian dijalankan secara tidak adil, membabitknan pengundi hantu, pengendali pengundian tidak telus dan sebagainya.
Beliau juga berkata sejak dua tahun lalu beliau beriya-iya untuk tidak bertanding sekiranya Ustaz Abdul Latiff mahu bertanding, tetapi atas sebab tertentu beliau menawarkan diri. Sesiapa yang mahu tahu sebabnya dipelawa berjumpa dengannya.
Bagi saya ketumpasan Ustaz Nik Abduh bukannya ketumpasan sembarangan, ianya ketumpasan bermaruah dan beliau akan memberi kesan cantingan kepada bukan sahaja Pas Kelantan tetapi juga Pas pusat. Hakikat yang kena diterima walaupun pahit menjadam untuk ditelan ialah tidak semestinya pihak yang benar, berani, tulus, telus serta merujuk kepada surah al-Asyr dalam perjuangannya akan sentiasa menang.
Sebagaimana apabila semakin kemaruk kita beribadah kepada-Nya maka semakin kuat pujukan dan bisikan syaitan yang membisikkan godaan, maka semakin kita tulus dan telus berjuang, maka semakin banyak ujian yang akan dihadapi, apatah lagi kalau hala tuju perjuangan kita untuk kepentingan umum, bukan kepentingan peribadi dan kroni.
Lagi pun bukan sahaja kalah itu sebagai suatu ujuan tetapi kemenangan juga adalah suatu ujian. Belum tentu pihak yang menang mendapat ketenangan kerana kemenangan yang diraih, belum tentu yang menang akan mendapat pahala dan lebih merasa bertuah dari pihak yang kalah.
Tidak mustahil yang kalah dikalahkan kerana disayangi-Nya supaya tidak akan mengumpul dosa seandainya menjadi pihak menang kerana mahu tidak mahu, suka atau tidak suka, setiap manusia akan terdedah kepada godaan syaitan laknatullah untuk menerakakan anak cucu adam.
Sejarah membuktikan bahawa pihak yang 'sengoti' perjuangannya lebih bernasib malang. Kita ambil contoh Haji Abdullah CD, Haji Rashid Maidin, Haji Abu Samah Mohd. Kassim dan rakan-rakan seperjuangan mereka yang telah mempertaruhkan darah dan nyawa demi kemerdekaan negara telah diwarnakan sebagai komunis yang tidak bertuhan.
Walhal hakikat sebenarnya bukan begitu. Dalam serba kepayahan dalam hutan mereka tetap tunaikan sembahyang, berbanding dengan kita di luar hutan, gara-gara termengantuk menonton siaran langsung perlawanan bola di kaca tv, Subuh boleh terlepas.
Di samping raamai di kalangan para pejuang itu pula memilih pasangan hidup dari kalangan berbangsa Cina yang diislamkan yang mana para pendakwah sendiri pun belum tentu mampu mengislamkan yang bukan Islam selain dari menjadi jaguh dakwah di kalangan yang sudah sedia beragama Islam. Saya dampingi para pejuang dan melihat aktiviti harian mereka yang jauh bercanggah dengan apa yang dicatatkan oleh sejarah yang pastinya berasaskan versi penjajah.
Saya juga melihat kekalahan Ustaz Nik Abduk bersifat sekeh anak sindir bapa, ianya adalah suatu signal bahawa Tok Guru perlu bersedia untuk berundur dari kepimpinan Kerajaan Negeri Kelantan kerana ada tokoh yang tidak sabar untuk mengganti tempat. Oleh kerana tidak belum berani menjolok sarang tebuang, maka cuba dilastik dulu.
Pada saya jika ada pencalonan supaya Tok Guru Nik Aziz menentang Tok Guru Hji Hadi, ianya adalah suatu taktik dan perangkap untuk 'nyah'kan Tok Guru kerana jika Tok Guru bertanding beliau akan dipastikan kalah.
Sebagaimana Abdul Latiff bertanding melawan Ustaz Nik Abduh yang saya yakin bukan hasrat Abdul Latiff sendiri tetapi pastinya kerana memenuhi kemahuan kalangan tertentu yang tidak sukakan Nik Abduh (kalau enggan bertanding masa depannya kerjaya politiknya akan punah), maka jika Tok Guru Haji Hadi bersedia bertanding melawan Tok Guru Nik Aziz yang mungkin dicalonkan untuk merebut jawatan presiden, saya yakin kesediaan Tok Guru Haji Hadi bertanding melawan Tok Guru Nik Aziz bukan kerana hasrat Tok Guru Haji Hadi sendiri tetapi adalah kerana mahu memenuhi kemahuan kalangan tertentu yang ada agenda-agenda tertentu pula yang mana jika beliau tidak bertanding, maka masa depan politik beliau akan bermasalah.
Tujuan utama adalah untuk nyahkan Tok Guru Nik Aziz dan umpama untuk mencapai maksud itu tidak ada yang lebih sesuai dan munasabah selain dari Tok Guru Haji Hadi. Juga tidak mustahil ada gerakan untuk nyahkan kedua-duanya. Daklam politik tidak ada yang mustahil!
Sunday, May 10, 2009
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment