Saturday, May 30, 2009

MUNCUL KEMBALI (198)

Islamkan politik, bukan politikkan Islam

TULISAN bekas Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainal Abidin pada kolum Minda Dr Maza dari Brintain (Mingguan Malaysia 31 Ogos) menarik perhatian saya. Pada saya politiklah yang kena diIslamkan, bukannya dipolitikkan Islam.


Hakikatnya yang tidak boleh dipisah-sukukan dengan Islam adalah politik, bukannya parti politik kerana Islam itu terlalu suci dan agung untuk diparti-politikkan. Ramai yang keliru dan dikelirukan dalam hal ini.

Politik adalah merupakan tatacara atau taktik dan teknik yang digunakan untuk sesuatu tujuan sama ada halal atau haram manakala parti politik adalah perkakas atau wadah untuk berpolitik.

Sama juga antara Islamkan politik atau politikan Islam yang sama bunyi sebutan dan wajah seakan sama tetapi tidak serupa, maka demikian juga antara politik dengan parti politik, bunyi dan wajahnya hampir serupa tetapi hakikatnya tidak sama, malah sangat jauh berbeza.

Kalau sesebuah parti menamakan partinya dengan Parti Islam Seetero Dunia atau ringkasnya PISDU umpamanya dan mendakwa parti berkenaan adalah parti Islam, bagi saya dakwaan itu tidak betul, bercanggah dengan hukum hakam, oleh merosakkan akidah.

PISDU hanya boleh mendakwa parti berkenaan menggunakan pendekatan Islam, yakni berpolitik secara Islam dengan apa yang dihalalkan oleh Islam diguna-pakai manakala yang diharamkan, malah yang dimakruhkan oleh hukum hakam akan dijauhi, tidak akan didampingi.

Dengan berbuat demikian maka ianya secara tidak langsung telah mengislamkan politik dan ianya adalah sesuatu yang amat patut, malah memang itulah yang dituntut oleh Islam, oleh Allah dan Rasul-Nya.

Tetapi kalau hanya dengan dalam nama politik ada perkataan Islam, maka didakwa parti berkenaan parti Islam ianya bersifat mempolitikkan Islam dan tentulah dakwaan itu bercanggah dengan Islam, bersifat retorik dan boleh membawa kepada kepunahan akidah.

Hakikatnya bukan sahaja dalam berpolitik kena diIslamkan tetapi cara hidup, cara berpakaian, pergaulan, makan minum, bekerja makan gaji, berniaga, bertani, menternak, menjadi nelayan, buruh dan sebagainya kena diIslamikkan.

Malah berkahwin, beranak pinak, bermenantu, bermertua bersuami, beriteri, tidur bangun serta pelbagai perlakuan sama ada demi kepentingan dunia mahu pun kepentingan akhirat, semuanya kena diIslamikkan.

Sesungguhnya kena disedari dan dinsafi bahawa Islam itu terlalu agung dan terlalu suci untuk diperkakas, diperalatakan dan diretorikkan untuk apa tujuang, sekali pun, termasuk bagi tujuan politik dengan menamakan sesebuah parti politik itu dengan nama parti politik Islam sedangkan pendekatan dan pengisian aktivitinya banyak yang bercanggah dengan Islam.

No comments: