Tuesday, June 30, 2009

CERPEN PALING BARU 07(1)/09

Nota: cerpen ini turut dihantar ke sebuah akhbar mingguan alternatif terkemuka untuk pertimbangan siaran

Pok Had Ceton Tembus
oleh
RAMLI ABDUL HALIM
meli_industry@yahoo.co.uk

SIKAP dan sifatnya macam gergaji togok: hulur kena, tarik pun kena. Gilanya boleh buat orang lain jadi lebih gila darinya kerananya. Bila selisih dengannya, kena berjaga-jaga kalau tak mahu malu dan dimalukannya.

"Nama ana Tuan Had bin Ku Him, baka raja kalah perang. Nama glemor Pok Had Ceton Tembus" itu kelazimannya memperkenalkan diri bila terserempak dengan sesiapa pun, termasuk dengan orang yang sudah memang dikenalinya.

Kalau dia perlukan wang untuk sarapan pagi, makan tengahari atau minum petang, akan dihulur dan ditadah ceton tembusnya.

Setiap orang kena beri jangan lebih dari samas. Alasannya kerana tidak mahu orang yang memberikan derma akan merasa terbeban kerananya di samping tidak akan hilang keikhlasan menderma.

"Ada kenal Pak Had Ceton Tembus?" soalnya pada setiap orang yang ditemui. Kalau dengan lelaki suaranya digarangkan, kalau dengan wanita akan dilembutkan, ada juga unsur-unsur kegelenyaran dalam gilanya.

"Baso katak bawah tempurung. Tokoh besar macam ana pun tak kenal. Fikiran terkatup, mata bole, telinga pekak, baso tak reti bersaing, tak ramai gu" seranahnya bila orang yang ditanya kata tidak kenal siapa itu Pak Had Ceton Tembus.

"Mu pun gila jugak?. Kenal rapat dengan Pak Had Ceton Tembus macam aku ni nak buat apa. Aku bukannya boleh luluskan kawasan balak, bukannya boleh beri derma dengan replika ceknya bukan main besar walaupun jumlah dermanya tak seberapa pun. Upah buat replika pun tak bertikah jauh dengan jumlah derma" bebelnya bila ada yang takut kena seranah kalau dijawab kata tak kenalnya dengan menjawab kata kenal rapat benar.

Pak Had Ceton Tembus punya fasal, olek macam pun alamat orang yang terserempak dan bersua muka dengannya kena boleh malu.

Kalau bagi penampar atau penyepak, orang akan kata penyepak dan penamparnya akan lebih gila dari sewelnya Pak Had Ceton Tembus, akan dikata orang gila pun dok ambik kutip buat kira.

Seorang gadis manis yang sedang berbual dengan rakannya menangis meraung-raung oleh penangan Pak Had Ceton Tembus yang mendekatinya gadis itu dan rakannya yang sedang duduk pada satu bangku di perhentian bas.

Mula-mula Pak Had Ceton Tembus memuji kecantikkan.

Bangganya bukan main kena puji.

"Mu comel sungguh, anak sapo nih?"
"Terima kasih. Saya anak ma dengan abah"

Kawannya memberi isyarat supaya jangan layan Pak Had Ceton Tembus tetapi gadis itu tidak pedulikan, mungkin kerana seronok dipuji tanpa dilihat siapa orang yang memujinya itu.

"Macam bintang filem Hindustan"
"Ya ke?. Ada ke macam Pretty Zentta?"
"Agaknyalah. Tapi gat......."
"Tapi apa?"
"Mu memang comel budak-mek, tapi tak cerdik"
"Pakcikkkkk................."
"Mu tak cerdik kerana sanggup junjung api neraka
"Mana ada api atas kepala saya?"
"Mu tak tudung kepala, tak tutup aurat, samalah seperti junjung api neraka. Aku hak orang kata gila ni pun tau, mu hak tak gila pula tak tau, tak ke pelik namanya"

Bebelan Pak Had Ceton Tembus menjadikan si gadis merasakan seolah-olah dia sedang dielanjang-bogelkan di tengah-tengah khalayak ramai.

"Makpak mu tak beritahu ke? Tak cerdik orang yang sanggup junjung api neraka, bodoh benar makpak yang biarkan anak gadisnya junjung dan jaja api neraka ke mana-mana macam mu ni. Comel muka tak guna, di akhirat nanti kena limpar songsang ke dalam neraka"
"Betullah orang kata pakcik ni gila?"
"Mu pun gila"
"Saya tak ada baka gila"
"Kalau mu waras, mu tak akan sanggup junjung api neraka. Dah ‘lah tak pakai tudung kepala, pakai seluar pula ketat sampai nampak gelembung dan temunyut tempat yang sepatutnya mu sembunyikan dari pandangan mata umum. Aku hak gila pun tengok ada rasa geram, hak orang tak gila tengok tak tau ‘lah rasa lagu mana"

Mungkin kerana terlalu malu, gadis itu menangis meraung-raung macam orang gila tetapi Pak Had Cetok Tembus tetap selamba, tetap macam lembu kenyang.

Setiap orang lelaki yang ada di pehentian bas dijabat tangan satu persatu dan diperingatkan agar bila masuk waktu, cepat-cepatlah tunaikan sembahyang, jangan tangguh-tangguh.

Juga dipesan supaya isi masa dengan beristighafar dan berzikir, jangan guna mulut dan lidah untuk bercakap yang bukan-bukan, apatah lagi menyebut apa yang tidak patut, jangan ikut nak kata tanpa mengambil kira hati dan perasaan orang.

Kena ingatkan mati.

Kawasan balak, saham-saham pelaburan, rumah besar, kereta mewah, pitis emas, bini comel tak boleh dibawa mati. Semuanya itu dunia yang serba sementara belaka, segalanya daki dan tahi gigi dunia, akhirat juga yang kekal abadi.

"Dah naik haji? Atau saja pakai serban dan jubah tapi belum naik haji?"

Tergamam dan terkejut beruk seorang lelaki yang sudah bercucu oleh sergahan Pak Had Ceton Tembus yang mendekatinya. Ada sedikit bau ko’oh menusuk hidungnya.

"Dah naik haji?" ulang tanya Pak Had Ceton Tembus bila pertanyaannya tidak diberi respon.
"Dah. Umrah pun dah dua belas kali"
"Orang kayalah ni?"
"Tak kaya mana, hanya imam mukim, ada la dusun sikit, bendang padi sikit, kebun getah sikit. Cukup makanlah"
"Kalau tak kaya macam mana boleh umrah sampai dua belas kali?"
"Anak-anak yang tanggung. Enam anak semuanya keluar universiti, kerja makan gaji"
"Bagusnya anak-anak"
"Heh...heh...heh"
"Naik haji berapa kali?"
"Sekali"
"Tak main parti?"
"Ada sikit-sikit. Ketua cawanganlah juga"
"Ada main balak?"
"Pernah minta tapi tak dapat. Takdok rezeeki lagi"
"Tadi kata imam"
"Ya. Imam mukim"
"Imam pun hisap rokok. Di stesen bas ni orang ramai. Mereka nampak yang awak buat, mereka terpaksa menyedut hembusan asap rokok awak?"
"Dah lekat tabiat. Start hisap masa budak-budak lagi"
"Pakai serban, pakai jubah. Tangan kanan bilang tasbih, tangan kiri pegang rokok. Imam apa demo ni. Demo tau ke tidak hisap rokok hukumnya makruh, malah ada ulamak kata haram, ada orang yang kata orang hisap rokok serupa macam lembu"
"Awak pun hisab rokok"
"Saya Pak Had Ceton Tembus. Orang kata saya gila. Saya boleh buat apa sahaja kerana gila. Yang awak dah naik haji, dah dua belas kali umrah dan imam mukim pula, macam mana boleh buat serupa dengan yang orang gila buat? Awak pun nak jadi jadi orang gila?"
"Sekali demo sekali pula awak. Jenis berkecek tak lekat unjat"
"Baso dia doh, mugo kawe ni orang gila"
"Ya tak ya jugak. Kalau dok layan orang gila, kita pun boleh jadi gila"
"Ambo minta diri dululah. Sebelum ambo gi, ambo nak pesan, jangan marah"
"Pesan apa?"
"Kalau tak mau jadi macam orang gila, jangan buat apa yang orang gila buat. Biar jadi orang waras sengoti. Jangan pula kata saja tak gila tapi sewel lebih dari orang gila. Assalaa-mu-alikum. Lu fikirlah sendiri"
Tidak sampai seratus jakah meninggalkan perhentian bas, Pak Had Ceton Tembus terserempak pula dengan seorang wakil rakyat yang baru keluar dari kereta jenis mewah bersama pemandunya.
"Kebetulan"
"Apa yang kebetulannya pula Pak Had?"
"Perut tengah lapar"
"Kalau lapar makanlah.Lapar ubatnya makan. Dahaga ubatnya minum. Gatal ubatnya garu, kecuali gatal bian, ana tak berani nak cakap, malu"
"Bijak"
"Tok wakil, Pak Had. Kena bijak"
"Nak makan kena ada pitih, YB"
"Jadi nak pitihlah ni?"
"Tau tak apa"

Tok wakil mengeluarkan note sepuluh ringgit dan dimasukkan ke dalam ceton yang Pak Had Ceton Tembus hulur dan tadah.

Wang itu melayang jatuh ke tepi longkang, mujur juga tidak masuk ke dalam longkang yang penuh dengan macam-cacam benda, bangkai anak kucing mampus pun ada.

"Bakpo tadah dengan ceton tembus patat?. Mana pitih nak lekat"
"Dah tau ceton tembus, YB bubuh buat apa"
"Dah Pak Had tadah cetok tembus"
"Saya ni gila. Cetok tembus ke, tak tembus ke serupa belaka. YB tak gila, tadi kata tok wakil kena bijak, kenapa buat juga yang macam orang gila buat. Bijak ke YB ni sampai tak boleh beza ceton tembus dengan tak tembus, ceton tak ada patat dengan ceton ada patat?"
"Saya ni orang betul, dah demo hulur dan tadah gat, kita bubuhlah"
"Nak bubuh pun kena tengok dulu. Jangan ikut suka nak bubuh. Jangan betul telajak sampai jadi kurang cerdik pula"
"Dalam gila-gila pun bedil juga?"
"Pitih tu patutnya YB bubuh dalam kocek saya, bukannya bubuh dalam ceton tembus patat saya ni"
"Ya tak ya juga"
"Kalau benda macam tu pun tak boleh difikir, kena orang yang orang kata gila macam saya ni tolong fikir, tolong ghoyat buwi, macam mana YB nak tolong fikir masalah rakyat?"

Tok wakil terduduk, malu dan aib kerana ada beberapa orang berhampiran yang kebetulan penyokong parti lawan ketawa terbahak-bahak kerana dia menjadi mangsa hujah bernas Pak Had Ceton Tembus yang kononnya gila tetapi dengar pada cakapnya, pada firasatnya otak Pak Had Ceton Tembus Ceton Tembus masih ada getah kewarasan.

Pak Had Ceton Tembus berlalu pergi membawa imej, prestasi dan reputasi Pak Had Ceton Tembusnya yang menenggelamkan identiti asalnya, Tuan Had bin Ku Him, dari titih raja kalah perang dan terpaksa jadi orang kemacar.

Atas nama Tuan Had bin Ku Him barangkali tidak ada yang gerun untuk terserempak dengannya tetapi atas nama Pak Had Ceton Tembus, ramai yang cuba mengelak dari terserempak dan bertentang muka dengannya kerana mahu mengelak dari malu dan dimalukan oleh angkara Pak Had Ceton Tembus yang mana dalam gilanya, banyak kata-kata yang lebih menyengat dari kata-kata orang tak gila!.

3 comments:

pemudacakna said...

Teringat pesan ustaz masa sekolah menengah dulu, "awak ni, jange jadi supo ceton tembus gak, doh lah tembus karat lagi, tak ada guna langsung".
Dalam hati tengah muda dulu berbisik, "baik jadi ceton, biar tembus pun, kalau orghe tino muda buat basuh kencing, bertuah juga".
Kadang-kadang benda yang tak berguna, kita terpaksa guna juga kalau tak ada benda lain lagi yang boleh digunakan kecuali ia.

Gemulah Abang Ya Daging said...

Olosh pakmuda otok BLUE

DZ Kg. Sireh Bawah Lembah said...

Otak blue boleh tahan sikit, jangan green, lembu pun boleh tertipu. Kalau lembu tak berapa lalu makan rumput kering, dipakaikan cermin mata green (hijau), silap-silap batang nyior pun habis dimamah kerana nampak hijau belaka.
Jangan orang sukakan hijau jadi lembu dipakaikan cermin mata dahlah, semuanya dibelasah.
Apa macam Meli cerpenkan pasal lembu dipakai cermin mata, siarlah dalam Wasilah ke, Siasah ke, Konsep ke, Wasulatul-Ummah ke. Saya rasa kalau diolah dalam bentuk karya kreatif.
Saya suruh bini dan anak-anak saya baca cerpen Debat dan Pak Had Ceton yang saya print-out, mereka asyik ketawa terkekeh.
Bini saya bangun dari tidur ketawa terkekeh-kekeh. Bila ditanya bakpo, dia kata teringatkan cerita dalam cerpen Debat dan Pak Had Ceton Tembus. Lucu. Bakpo Pak Had dok asyik hulur dan tadah ceton tembus.
Anak saya yang tingkatan satu kata, pasal Pok Had Cetun Tembus tak 'segar' la ma. Tok wakil pun kurang segar, dah tau ceton tembus, takdok patat, gi bubuh pitih buat begapo.
Saya kata itu perlambangan penulisnya yang menggunakan bakat kreatifnya untuk menjadikan pembaca berfikir, dalam ketawa lucu ada simbolik dan falasah disebalik watak Jusoh dalam Debat dan Pak Had Ceton Tembus dalam cerpen Pak Had Ceton Tembus.
Bini saya tanya macam mana orangnya penulis cerpen tu. Lucu ke orangnya. Saya beritahu setahu sayalah, orangnya pendiam dan tidak banyak cakap tetapi mudah tersengih. Saya sering tengok dia di Masjid Kampung Sireh dari jauh tetapi segan nak masuk dekat.