Nota; Rencana ini dihantar untuk pertimbangan siaran sebuah akhbar harian arus perdana sebelum atau pada 6 Julai 2009.
Untuk sedarkan pimpinan parti, Pas kena kalah di Manek Urai
KALAU ikut lojik akal, bukan mudah untuk Barisan Nasional (BN) yang bertulang-belakangkan Umno merampas kerusi N41 Manek Urai, kerana berdasarkan kepada rekod Pilihanraya Umum Ke-7, 8, 9,10 dan 12, kerusi berkenaan telah dimenangi oleh Pas dengan majoriti sentiasa mewah.
Tetapi jangan lupa kalau Pas menang enam kali pilihanraya di Manek Urai, Umno/BN juga menang sebanyak enam kali pilihanraya juga di kawasan berkenaan iaitu pada pilihanraya tahun 1959 menerusi calonnya, Md Ali Abdullah (dulu atas nama PERIKATAN).
Umno/BN juga menang pada piliharaya tahun 1964 dan 1969 menerusi Yusuf Md Salleh, pilihanraya tahun 1974 menerusi Hussein Sulaiman, pilihanraya tahun 1982 menerusi Dato' Ariffin Said dan tahun 2004 menerusi Mohamad Zulkepli Omar.
Manakala enam kali pilihanraya yang dimenangi Pas pula adalah pada tahun 1978 menerusi Wan Abdullah Wan Su dan pilihanraya tahun 1986, 1990, 1995, 1999 serta 2008 melalui Ismail Ya'akob (Paksu Weil).
Melihat kepada rekod dan sejarah keputusan pilihanraya-pilihanraya di Manek Urai jelas menampakkan bahawa pengaruh Pas dengan Umno/BN adalah hampir seimbang dan masing-masing tidak boleh pandang dan ambil mudah untuk menang.
Pun begitu jika ditinjau pandangan orang Pas fanatik, terutama yang percaya selagi ada Mursyidul Am Pas Dato' Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat yang juga Menteri Besar Kelantan, apatah lagi yang tidak pernah merujuk rekod dan sejarah pilihan-pilihanraya yang telah berlangsung sebanyak 12 kali, kalau yang ada yang kata dan percaya Umno/BN boleh kalahkan Pas di DUN berkenaan, maka akan dianggap ada sesuatu yang menghadang alur dan aliran pemikiran orang yang percaya Umno/BN boleh menang.
Hujah paling utama akan dibrikan kenapa sukar, malah mustahil untuk Umno/BN menang di Manek Urai adalah kerana mereka yakin pengundi di kawasan berkenaan tidak akan sanggup menolak Islam dan memilih sekularisme kerana di kalangan para fanatik Pas, masing-masing menganggap Pas itu Islam dan Islam itu Pas.
Secara peribadi penulis berpandangan anggapan dan kepercayaan sedemikian boleh menyumbang kepada kepunahan akidah dan bersifat menyama-standardkan Islam dengan Pas. Macam mana pun pandangan bukan suatu fatwa kerana penulis tidak berautoriti untuk berfatwa dan hanya boleh memberi pandangan peribadi sahaja.
Dalam pada itu sebagaimana yang dalam keadaan orang Pas tidak percaya dan orang Umno serta orang atas pagar ragu Umno/BN boleh menang pada pilihanraya kecil DUN Pengkalan Pasir (Pasir Mas) yang masih dalam edah Pilihanraya Umum Ke-11 dulu tetapi penulis yakin Umno/BN boleh menang, untuk Pilihanraya Kecil N41 Manek Urai yang hari penamaan calonnya ditetapkan pada 6 Julai, penulis rasa tidak mustahil untuk Umno/BN menang.
Bila penulis kata tidak mustahil Umno/BN menang, bermakna orang Pas jangan terlalu manggak dengan keyakinan mereka bahawa Pas utuh di Manek Urai dan Umno/BN pula boleh kilas siku untuk menanti masa pengumuman kemenangan.
Sebaliknya masing-masing kena berusaha untuk menang dan akhirnya akan redha dengan apa yang berlaku tanpa prejudis kerana kalah menang sebenarnya sudah pun sedia terskrip dalam suratan dan takdir Allah.
Pergolakan terkini yang sedang berlaku dalam Pas sebagai kesan sampingan kepada keputusan dalam pertandingan merebut jawatan pada Muktamar Agung Pas Ke-55 yang mennyaksikan calon-calon yang restui Musrysidul Am hampir kesemuanya kalah, mahu tidak mahu akan memberi kelebihan kepada Umno/BN untuk mencipta rekod.
Sikap dan sifat terkini Dato' Nik Abdul Aziz yang dilihat kini jauh menyimpang dari garis lintang sebenar watak, wajah dan sikapnya sebelum Muktamar Agung Pas Ke-55, menjadikan pemimpin, ahli dan penyokong Pas sudah tidak solid lagi untuk terus tunduk menguku kepada apa yang menjadi harapan dan kemahuan Mursyidul Am Pas itu.
Pemimpin, ahli dan penyokong Pas yang memimpin, menganggotai dan menyokong parti itu dengan ilmu dan bukannya kerana taksub mengkhinzir-buta terhadap ketokohan seseorang, mereka akan pasti mengkaji tentang benar-benar masih selarikah atau sebaliknya Pas dengan slogan perjuangannya yang kononnya berlandaskan hukum hakam atau sudah berlaku sebaliknya.
Seandainya dirasakan bahawa kekalahan Pas di Manek Urai boleh menghapuskan wabak, sindrom dan virus riak, sombong, angkuh dan bongkak tokoh tertentu atau kumpulan tertentu dalam parti, pasti mereka akan menganggap membantu mengalahkan Pas adalah lebih berpahala dari membantu memenangkannya kerana apa yang dibuat di dunia tidak boleh lari dari soal dosa pahala.
Dalam tinjauan rambang yang dibuat bagi menyiapkan rencana ini, daripada 20 responden yang ditanya pandangan mereka, sebanyak 18 responden berpendapat untuk sedarkan pimpinan parti, Pas kena kalah di Manek Urai manakala dua lagi mengambil sikap berkecuali, menang tak apa kalah pun akan diterima dengan redha.
Bagi majoriti responden kalah di Manek Urai adalah lebih baik dari Kerajaan Pas Kelantan dan kerajan Pakatan Rakyat (PR) di Kedah dan Selangor tumbang pada Pilihanraya Umum Ke-13 akan datang kerana perkidahan alur dan aliran pemikiran dalam Pas tidak segera diatasi.
Pulau Pinang dilihat kukuh kerana kerajaan berteraskan DAP yang lebih utuh perpaduan bangsa yang menunjangi parti itu berbanding dengan parti-parti politik bertunjangkan bangsa Melayu yang kini berkerajaan di Kelantan, Kedah dan Selangor.
Sebagaimana Pas mencapai rekod cemerlangnya kerana aura Dato' Haji Nik Abdul Aziz, pada mereka Pas juga akan lebur gara-gara Dato' Haji Nik Abdul Aziz yang dilihat mula tergelincir dari garis lintang watak, wajah, sikap dan sifat sebenarnya sebelum Muktamar Agung Pas Ke-55.
Beliau sedang menghadapi tsunami puji akan bertukar caci kerana 'terpong-jijak' oleh anggapan bahawa beliau adalah yang terpopular dari yang popular dan penentu kepada apa yang akan berlaku kepada Pas, kononnya tanpa beliau Pas akan 'patah reng'.
Kenyataan-kenyataan keras dan tidak berlapik Dato' Haji Nik Abdul Aziz dikatakan boleh menyebabkan ratusan ribu penyokong Pas terluka hati dan hilang hormat terhadapnya.
Yang terasa hati dan hilang hormat itu pula bukan sahaja dari luar Kelantan, malah dari Kelantan sendiri serta tidak mustahil dari dalam rumah beliau sendiri juga.
Keputusannya menangguhkan masa untuk mengosongkan kerusi Menteri Besar yang sepatutnya dilakukan sebaik sahaja apabila Pas bukan sahaja berjaya kekalkan menjadi kerajaan di Kelantan tetapi calon-calonnya menang dengan majoriti agak mewah pada Pilihanraya Umum Ke-12, adalah suatu kesilapan strategi yang sangat ketara.
Seandainya beliau tidak terus kemaruk kekal pada kerusi tampuk pemerintahan negeri, apa yang sepatutnya tidak berlaku tetapi sedang berlaku kepada Pas sekarang tidak mungkin akan berlaku.
Sesungguhnya apa yang berlaku kepada Pas sekarang benar-benar umpama meletakan Pas dalam sebuah bangunan yang dipenuhi dengan bom jangka pemusnah berkuasa tinggi.
Seandainya Dato' Haji Nik Abdul Aziz berundur sekarang atas apa sebab dan alasan pun, masanya sudah terlambat dan tidak sesuai untuk tujuan selamatkan keadaan.
Ini adalah kerana Pas sudah umpama baldi patat tembus yang boleh menyebabkan air akan kering ketika pelbagai pihak dalam Pas sedang dalam proses mencari-mencari penampal ketembusan.
Terpulang kepada Umno/BN untuk mengekspoitasi dan memanipulasi apa yang sedang berlaku kepada Pas untuk memcipta kemenangan ketika ada orang Pas sendiri beranggapan bahawa demi untuk kepentingan masa depan Pas dan menghapuskan rasa riak, sombong , angkuh dan bongkak tokoh-tokoh tertentu dalam Pas dan memastikan tokoh terbabit sedar diri dan kembali kepada tujuan asal penubuhan Pas, maka Pas dianggap perlu dan wajar kalah dalam Pilihanraya Kecil Manek Urai.
Seramai 12,292 pengundi dengan 99.25% daripadanya adalah Melayu, 0.44% (Cina), 26% (india) dan 0.02% (lain-lain bangsa) yang sedia maklum dengan apa yang sedang berlaku dalam Pas sekarang, mereka perlu dimaklumatkan dengan isu-isu yang sepatutnya mereka tahu dan perlu menggunakan kuasa undi milik mereka memberikan gambaran apa yang mereka suka dan tidak suka.
Seandainya Umno/BN membawa isu apa yang berlaku kepada bandar Kota Bharu apabila banyak tanah-tanah milik Melayu telah bertukar status dan ianya disenaraikan dalam bentuk bercetak dan diedarkan sebagai bahan kempen, Pas boleh jadi umpama orang lekat tulang lakunya.
Lembah Sireh, isu penduduk pesisir pantai di kawasan Kuala Besar yang bakal kehilangan tempat tinggal apabila penempatan mereka terlibat dalam pengambil-alihan oleh sebuah syarikat yang dikatakan bertindak bagaikan bangsa Yahudi di Palastine, Umno/BN mampu menang jika bijak mengeksploitasi dan memanipulasikannya.
Kenaikan premium bagi permohonan hakmilik tanah yang dikatakan melonjak dengan tingginya adalah antara senjata yang boleh membawa kepada Pas akan terkorban di Manek Urai.
Dengan kata lain jika Umno/BN bijak memainkan perang saraf, parti itu boleh berjaya dan Pas boleh kecundangan dalam keadaan pemimpin, ahli dan penyokong Pas yang berpolitik dengan fikiran terkatup bahawa Manek Urai adalah kubu kuat parti itu.
Pengundi Manek Urai tidak sesuai dihidangkan dengan isu-isu nasional dan global, calon yang dipilih mestilah sanggup sama-sama melapah lembu bila ada kenduri kendara, akan menjadi orang pertama sampai ke rumah mana-mana penduduk yang ditimpa musakah dan tidak akan sesak nafas oleh bau 'pot getah'.
Individu dari kelas atas dan yang membawa gaya bandar tidak sesuai untuk menjadi wakil rakyat Manek Urai walaupun calon yang dipertaruhkan itu nanti mungkin lebih alim dan lebih berilmu dari imam utama Masjid Mekkah.
Ertinya kalah menang Umno/BN di Manek Urai bergantung kepada tepat atau tidak tepat pemilihan calon yang dibuat. Yang pasti, bukan seperkara yang mustahil untuk Umno/BN menang di Manek Urai, malah tidak mustahil ianya juga menjadi harapan sebilangan besar ahli dan penyokong Pas untuk melihat kekalahan parti sendiri demi untuk menyedarkan pimpinan yang mula menampakkan bibit hilang pedoman kerana tidak sejalur dan sealiran sesama sendiri tentang apa yang patut dan tidak patut Pas lakukan!
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
3 comments:
Guano berat benar abe li kecek ari ni nih.
kawe raso pak nik betul.
kalu ore nak kube rumah tangga tak ken kito dok dien.
kita bine perpuluh tahun doh nak jadi setaro nih. tiba tiba ore mari nak kube kok sir nya marah. tak kira pak nik kawe pun marah kalu lagu tuh.
Sdr MKJ,
.. tak ttanding bebas ko di PRK Manik Urai nih. Masuk dalam gelanggang. Boleh ppakat dengan Umno. Pakat2 kempen lawan Nik Aziz, biar PAS kalah ttungen. Silap2 MKJ benea. boleh jadi tok wakil. tak payah nnulis blog lagi, lawan terus Nik Aziz dalan DUN Kelantan nanti. Tak payah sipi2 lagi, pakoh atas ppala Nik Aziz terus. Baru la betul2 "Anak Jate de Jangok".
Kawe raso Meli acap kali kata dia tak minat politik, dia lebih suka jadi pengamal media.
Nak ttande bebas pun kena ada pitih. Meli ada begapo. Lagi pun kawe raso dia bukan nak ttewas dengan Tok Guru Nik Aziz, sebaliknya dia memperingatkan Tok Guru Nik Aziz, toksir wi Tok Guru kita jadi mugo lain lepas bereti jadi MB.
Kawe rasa Meli hak sayang sungguh ko Tok Guru Nik Aziz. Bila rasa apa yang Tok Guru buat dan kkecek boleh punahkan nama Tok Guru dan parti dia tegur. Tok ccayo mari kita ppakat tengok bila Tok Guru tak jadi MB lagi. Berapo orang hak dok lambung Tok Guru masuk dekat macam masa Tok Guru jadi MB.
Post a Comment