Umno kena terima dan redha dengan keputusan, janji patut segera direalisasikan
USAHA telah dibuat tetapi sebagaimana yang telah terskrip dalam qada' dan qadar-Nya, Pas masih lagi menguasai Manek Urai. Ianya adalah keputusan majoriti pengundi Manek Urai dan semua pihak kena terima hakikat itu dengan syukur dan insaf.
Yang menang mahu tidak mahu kena menunjukkan pretasi dan reputasi yang baik kerana pilihanraya umum ke-13 akan tiba tidak lama lagi untuk dinilai sejauh mana kualiti khidmat kewakil-rakyatannya oleh penundi.
Manakala yang kalah kena memuhasabah diri mencari sebab dan musabab kenapa kemenangan tidak disurat dan ditakdirkan kepadanya walaupun pelbagai usaha telah dibuat.
Ada orang Pas kata Umno bagi RM500 setiap orang pengundi untuk mendapat undi, Pas pula cuma bagi RM150 sahaja. Mungkin pengundi hantu berjaya dihambat dengan taburan bertih dan kerana orang yang sudah mati malas keluar mengundi, maka Pas menang. Pengundi hantu, orang mati pun mengundi dan SPR tidak telus sering Pas bangkitkan bila kalah.
Kalaulah benar Umno agih-agihkan RM500 untuk seorang pengungi, kalau dah Umno mendapat 5,283 undi jika didharab dengan RM500 seorang, jumlahnya adalah RM2,541,500 (Ringgit: Dua juta lima ratus empat puluh satu ribu lima ratus).
Tuan Aziz pula dikatakan memberi syarat sebanyak RM3 juta dimasukkan ke dalam akaunnya sebagai syarat untuk sanggup dicalonkan di samping seandainya kalah beliau mahu dilantik sebagai CEO di kilang Sawit KESEDAR atau FELDA.
Penyokong Pas yang mendakwa diberi maklumat oleh pihak polis sendiri, turut menyatakan bahawa sebanyak RM30 juta dibelanjakan bagi penempatan anggota polis tanpa dimasuk kira makan minum lagi setiap hari sepanjang penempatan mereka di Manek Urai.
Sewa rumah untuk dijadikan markas operasi tukang-tukang kempen pula kononnya antara RM3,000 hingga RM18,000 sebuah. Tuanpunya rumah sanggup pindah tinggal sementara di madrasah, rumah disewakan untuk tidak lepaskan peluang mendapat perolehan mudah RM3,000 atau RM18,000 sepanjang edah pilihanraya kecil itu berlangsung.
Terbayang dalam otak kepala saya, kalau dicampur dengan kos mencetak poster dan belanja-belanja lain, Umno kena habis lebih dari RM50 juta. Kalaulah diberi RM1 sejuta seorang kepada ahli Umno yang ada kemampuan berniaga di Manek Urai, ertinya 50 orang usahawan akan lahir dan kalau seorang usahawan dapat memberikan peluang pekerjaan kepada 10 orang, maka 500 orang akan dapat kerja.
Bukankan dengan cara itu lebih menjanjikan sokongan kepada Umno dari menghabiskan wang yang banyak untuk diagihkan. Kalau betul yang diberi wang undi Umno ada hasilnya juga tetapi kalau wang diambil undi diberikan kepada Pas, tidakkah suatu kerugian dalam pelaburan namanya. Soalnya betulkah begitu?.Saya tak percaya.
Bagaimanapun tak apalah sama ada benar atau tidak kerana segalanya telah selesai. Pengundi Manek Urai dah buat keputusan yang sudah tidak boleh diubah dan mereka kena terima keputusan itu sehingga tibanya pilihanraya umum ke-13 akan datang.
Paling penting ibarat carik-carik bulu ayam semasa kempen berlangsung, para pengundi dalam kawasan DUN Manek Urai kena kembali bersatu untuk meneruskan kerja masing-masing sementara menunggu tibanya pilihanraya umum akan datang. Jangan ada yang bermasam muka atau berdendam.
Bagi saya dengan hanya kalah dengan majoriti 65 untuk kepada Pas, Umno juga ada nilainya di Manek Urai. Umno tidak boleh berdukacita dan kecewa, malah pemilihan calonnya, Tuan Aziz Tuan Mat bagi saya memang tepat dan terbukti ianya adalah penggugat yang dahsyat.
Kemenenangan Pas dalam pilihanraya kecil di Maek Urai kali itu pula bermakna parti itu mencatatkan rekod kemenangan 6+1, yakni 6 kali menang melalui pilihanraya umum dan sekali melalui pilihanraya kecil manakala Umno juga menang 6 kali di kawasan berkenaan.
Pas memenangi DUN Manek Urai pada pilihanraya umum ke-5 pada tahun 1978 dengan calonnya Wan Abdullah Wan Su dan melalui Ismail Yaakub (Paksu Weil) pada pilihan umum ke-7 (1986), pilihanraya umum ke-8 (1990), pilihanraya umum ke-9 (1995), pilihanraya umum ke-10 (1999) dan pilihanraya umum ke-12 (2008) + pilihanraya kecil (2009) melalui calonnya Fauzi Abdullah.
Pilihanraya yang dimenangi calon Umno di Manek Urai ialah pada pilihanraya umum pertama (1959 ) menerusi calonnya Md Ali Abdullah, pada pilihanraya umum ke-2 (1964) menerusi Yusuf Md Salleh, pada pilihanraya umum ke-3 (1969) menerusi Hussein Sulaiman, pada pilihanraya umum ke-4 (1974) dan pada pilihanraya umum ke-6 (1982) menerusi Ariffin Said serta pada pilihanraya umum ke-11 (2004) menerusi Zulkifli Omar menang dengan majoririti 53 undi, 12 undi lebih rendah dari yang dipungut oleh Fauzi (65).
Bagi saya keupayaan Tuan Aziz menarik 1,457 daripada 1,532 majoriti yang diraih oleh Pak Su Weil pada pilihanraya uumum ke-12 adalah merupakan satu kejayaan dalam kegagalan yang mahu tidak mahu boleh menyebabkan Pas mula dilanda kegusaran untuk menghadapi pilihanraya umum ke-13 nanti.
Andainya 117 undi tidak ditolak, mungkin akan lain jadinya keputusan pilihanraya berkenaan. Sukar untuk dicari sebabnya kenapa setelah banyak pengalaman melalui pilihanraya 12 kali + 1 pilihanraya, masih ada juga kertas undi yang terpaksa ditolak.
Bagaimanapun kita mesti yakin setiap apa yang berlaku ada hikmahnya. Kejayaan Pas kekalkan kemenangan Pas dan kekalahan Umno dengan majoriti tipis di Manek Urai ada hikmahnya. Maknanya masing-masing kena bekerja kuat untuk menghadapi pilihanraya umum ke-13.
Sama ada Pas mampu mempertahankan Manek Urai pada pilihanraya umum ke-13 nanti bergantung kepada sejauh mana Fauzi mampu menfotostatkan dirinya menjadi Pak Su Weil kalau pun tidak mampu menjadi lebih baik dari Pak Su Weil.
Manakala Umno mempunyai harapan yang cerah untuk tawan Manek Urai sekiranya Tuan Aziz terus diberi peranan di kawasan berkenaan sehingga pilihanraya umum ke-13 dan beliau sekali lagi diberi peluang bertanding nanti. Sebagai persediaan awal, Tuan Aziz barangkali patut dilantik sebagai Penyelia DUN di kawasan berkenaan.
Kesediaan 5,348 pengundi yang memberi undi kepada Umno perlu dihargai. Sebagai penghargaan kepada peningkatan jumlah undi yang diperolehi, pada saya bukan sahaja janji-janji bagi pembinaan jambatan dan bandar agropolitan (kalau tak silap saya sebutannya) patut diteruskan tetapi wajar disegerakan pelaksanaanya.
Walaupun kalah tetapi janji yang besar-besar tetap ditunaikan akan memberi kesan positif dari sudut persepsi penundi di Manek Urai tetapi jika bila kalah tidak dilaksanakan, mereka yang telah memberi undi sehingga Pas nyaris-nyaris kalah mungkin hilang keyakinan kalau apa pun janji yang ditaburkan pada pilihanraya umum ke-13 nanti.
Tuan Aziz dan pemimpin Umno Kelantan kena terus turun ke Manek Urai dengan program-program yang boleh diatur mengikut keperluan kerana untuk dapatkan hasil bila membuka ladang ianya akan menmakan masa yang agak panjang.
Sekurang-kurangnya kalau diibarat proses tebas tebang, memugar dan memerun ladang, Tuan Aziz dan Umno sudah berjaya menyelesaikannya. Sayanglah kalau kawasan yang sedia untuk ditanam biji benih tidak ditanam dan dijaga dengan rapi untuk nantinya akan dipetik hasilnya pada pilihanraya umum ke-13.
Tuesday, July 14, 2009
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
4 comments:
assalamualaikum buat mkj n semua,
saya rasa terpanggil utk tinggalakan komen di sini, biasanya saya hanya menjenguk. really saya suka membaca tulisan abe meli sejak tahun 94 95 lagi. masa tu saya masih bersekolah menengah rendah. sekarang sudah 30 an dan pegawai kerajaan.
1) apa yang buleh saya nukilkan mmg ada perubahan pada penulis sejak tahun 90an hinggan sekarang, jiwanya n fikrahnya..saya x kisah sgt. cuma sentuhan n ramalan politik mkj sudah hilang..pun saya tidak kisah. manusia mmg begitu. ada kala ramalannya tepat n sebaliknya. cuma yang saya KISAHKAN kalau2 ramalan yg dibuat bkn berdasarkan andaian berasaskan fakta tetapi andaian berasaskan kebencian n emosional yg x sudah2.kerapakli mkj mengatakan pas akan kalah sekian sekian sedangkan senario dilihat ckp berbeza, lari jauh tambahan pula dbandingkan dengan blogger lain seerti mso dan sebagainya. mkj merupakan wartawan penuh pglaman, pastinya ada ilmu kewartawanan, penulisan yg ckp tinggi tetapi apa dah jadi? saya bmbg kalau kebencian n kemarahan serta kekecewaan saudara kepada pas selama ini menjadi penyebab hilangnya sentuhan politik mkj.
abu muhammad
kuala krai
Apa apa pun PAS telah menang. Bersyukur pada YANG MAHA KUASA.
Sebagai peringatan kepada semua dan juga pada diri saya apa juga yang keluar dari mulut kita dan apa juga yang kita tulis , sekiranya niat kita salah kita akan disoal di akhirat kelak.
Sekiranya kita terdengar cerita cerita di kedai kopi yang mengatakan perkara yang kita anggap fitnah, janganlah di jaja kesini kesana.Ingatlah ALLAH MAHA MENDENGAR DAN MAHA MELIHAT.
Menuduh BN mengamalkan rasuah dengan kemerosotan ini adalah tidak tepat. Kalau tuduh juga seolah-olah menyalahkan rakyat yang pelahap duit untuk memangkah. Perlu disedari rakyat tidak boleh dituduh begitu kerana rakyat sekarang telah berpelajaran sekurang-kurangnya seperti calon PAS ataupun lebih tinggi sehingga mendapat diploma dan ijazah. Undi mereka tidak boleh dibeli melainkan mungkin mereka memakai nasihat kata-kata orang tersohor iaitu 'Beri gula kacau, beri duit ambil tapi pangkah belum tentu'. Kena buat pemilihan bijak.
Kerana Slogan Beri Duit Ambil, beri gulai kacau, beri kain pakai lah, menyebabkan PAS hampir hilang Kerusi di manek Urai.
Pada Pihanraya Kecil Lundang tahun 1994, Ust Mohd Iraqi yang ganti Gumullah Mawardi. Pun menang dengan majoriti yang tidak selesa, pabila slogan beri duit ambik ni. Sebenarnya apabila duit diberi undi ditagih. Para pengundi yang terima duit, sudah pasti dipaksa bersumpah dan bertaklik gugur talak. Tak cukup 500 tambang lagi jadi 1000. Siapa tak gelap mata. dapatko undi sekali ni jah. Buleh 1000.
Walau apa pun TOK GURU MEMIMPIN, MANEK URAI BERKAT masih mengatasi MANEK URAI ANAK EMAS KERAJAAN PERSEKUTUAN, YANG DIJAJA OLEH umno/bn
Post a Comment