Thursday, October 15, 2009

MUNCUL KEMBALI (443)

Jangan dahului takdir

ALLAH sukakan kebaikan sehingga kalau niat nak buat baik dan kebajikan sudah pun diberi pahala, kalau buat apa yang diniatkan, lagi berphala. Tetapi kalau untuk kejahatan, sekadar niat nak buat tetapi belum lagi buat, tidak akan dibubuh dosa, sebaliknya setelah buat baru diberi dosa, itu bpun tengok kepada pelakunya sama ada melkukan dosa dalam keadaan siuman atau sebaliknya. Dosa yang dibuat pun boleh berampun jika meminta keampunan dan bertaubat nasuha.

Kerana itu adalah tidak wajar apabila unsur-unsur kebaikan yang cuba mahu diterapkan oleh Umno, terutama oleh Presidennya Datuk Seri Najib Tun Razak yang juga Perdana Menteri, kita memberi persepsi dan tohmahan negatif dan kita melihat dengan jahat kejahatan tetapi awal-awal lagi membuang yang baik.

Sama ada akan menjadi kenyataan atau tidak niat baik atau perbuatan baik itu pula terpulang kepada keadaan. Kalau kita melihat kegagalannya sebelum betul-betul gagal dan hanya berdasarkan agakan yang penuh prejudis, maknanya kita mendahului takdir.

Kena ingat bahawa orang yang telah membunuh 100 orang akhirnya masuk syurga apabila dia mati dalam perjalanan dan berlarian untuk mencari orang alim yang boleh memberi jawapan macam mana si pembunuh tadi boleh bertaubat dari perbuatan jahatnya.

Apakah Datuk Seri Najib dan Umno jahatnya sama atau lebih dari membunuh 100 orang tetapi disyurgakan atau betulkan Datuk Seri Najib dan Umno jahat bnar-benar jahat atau kerana parti politik yang didukungnya bukan parti yang dukung, maka kita anggap dia jahat dan patut dihumban ke dalam neraka belaka?

Buka minda, ikuti dan hayati dengan tenang dan profesinal lagi rasional intipati ucapan beliau sebagai berikut supaya kita tidak dilonggokan dosa dengan persepsi dan tohmahan liar, serta kerana amalan mendahului takdir. Mari kita sama-sama hayati;

1. Bangkit untuk berubah

KUALA LUMPUR 15 Okt. – Setiap pemimpin dan ahli UMNO diminta bangkit menyalakan obor perubahan bagi memartabatkan perjuangan parti dengan keutamaan kepada kebajikan dan keperluan rakyat untuk membentuk kerajaan yang kuat serta stabil.

Dengan nada lantang dan tegas, Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak menyemarakkan semangat setiap perwakilan supaya bangkit bersama-samanya kerana amanah yang besar itu tidak mampu dipikul oleh beliau bersendirian.

“Bangkitlah semua bersama-sama saya,” seru Najib sambil para perwakilan dan tetamu spontan berdiri menyahut seruan beliau dengan memberikan tepukan gemuruh.

Malah sebahagian daripada mereka kelihatan sebak mendengar ungkapan Najib.

“Saya menyeru dan mengajak kepada Timbalan Presiden, kepada Naib-Naib Presiden, Ketua Wanita, Ketua Pemuda, Ketua Puteri, kepada saf kepimpinan yang berada di atas, pejuang-pejuang UMNO di bawah, pejuang-pejuang UMNO di bahagian, pendokong-pendokong UMNO di cawangan, seluruh warga UMNO yang baru dan yang lama, di kota dan di desa, bangkitlah semua bersama-sama saya.

“Rapatkanlah barisan. Sahutlah panggilan. Marilah kita martabatkan warisan ini,” tegasnya.
Seruan Presiden UMNO itu disambut dengan laungan ‘Ya’ oleh para perwakilan yang bergema memenuhi Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra.


“Yakinlah, perjuangan kita adalah perjuangan yang betul, yakinlah, perjuangan kita adalah perjuangan yang hak.

“Kitalah, UMNO, satu-satunya parti yang membawa obor harapan dan mampu meneroka masa depan penuh gilang-gemilang.

“Walau apa pun dugaan, walau apa pun rintangan, bersama segunung harapan, perjalanan ini kita teruskan, bersama menggenggam keyakinan, segala impian pasti dilunaskan, setitik dijadikan laut, segumpal dijadikan gunung,” tegasnya yang terus disambut dengan laungan ‘Ya’ daripada perwakilan yang terus berdiri diresapi semangat ucapan Presiden Parti.

Najib menutup ucapan bersemangat itu dengan ungkapan: “Tradisi tetap kita junjung, perubahan tetap kita zahirkan.

“Kendati tergantung awan di langit, Telah terlanjur kubentangkan layar. Walau badai datang menggulung. Walau berdentum guruh di langit, walau bumi berkeping dua, takkan mungkin ku berbalik haluan.

Hidup UMNO! Hidup Melayu!”

2. UMNO bukan rasis – PM

KUALA LUMPUR 15 Okt. – Datuk Seri Najib Tun Razak memberi peringatan kepada pihak yang semberono menuduh UMNO sebagai parti perkauman supaya terlebih dulu mencermin diri secara ikhlas.

Tegas Perdana Menteri, pihak terbabit harus sedar akan realiti komposisi kaum dalam parti mereka sendiri dan jangan terlalu angkuh mengaku konon merekalah parti pelbagai kaum yang paling bermoral dan intelektual untuk memimpin rakyat di negara ini.

“Adakah ia benar-benar melambangkan keterbukaan yang mereka jerit dan laung-laungkan,” soalnya dalam ucapan dasar sulung sebagai Presiden pada Perhimpunan Agung UMNO Ke-60 di sini hari ini.

Jika betullah parti itu (UMNO) rasis bagai didakwa, beliau percaya tidak mungkin ia amat bertolak ansur terhadap budaya etnik lain sehingga wujudnya sekolah pelbagai aliran bahkan mustahil pula untuk bekerjasama akrab dengan parti komponen lain dalam Barisan Nasional (BN).

Sebaliknya UMNO sebagai parti berasaskan Melayu yang didakwa rasis, kata beliau, telah menjadi nakhoda memimpin kesemua tindakan hebat kerajaan untuk kepentingan rakyat sejak 50 tahun lalu.

Mengimbas sejarah negara yang seiring dengan susur galur UMNO, beliau berkata, parti itu telah mengepalai usaha menyelamatkan negara bermula daripada ambang kehancuran akibat konflik kaum pada 13 Mei 1969.

“Para pemimpin UMNO boleh memilih untuk tidak meneruskan demokrasi yang telah digantung. UMNO juga boleh memutuskan untuk menubuhkan kerajaan satu parti atau mungkin menyokong saja pihak tentera melakukan kudeta.

“Akan tetapi, itu semua tidak dilakukan, malah UMNO berusaha keras mengembalikan demokrasi dalam masa 18 bulan. Ini jelas mempamerkan bahawa UMNO bukan sebuah parti yang mabuk kuasa, jauh sekali sebagai sebuah parti yang bersifat perkauman,” tegasnya.

Baginya, perkauman sebenar adalah apa yang berlaku pada zaman aparteid di Afrika Selatan dan era 60-an di Amerika Syarikat, ketika amalan perkauman berlaku secara terang-terangan sehingga sekolah, bilik air, tempat makan di restoran dan tempat duduk dalam bas dibeza-bezakan.

Semua itu, katanya, hanya berakhir setelah keputusan pengasingan kaum, institusi pendidikan tahun 1954 oleh Mahkamah Agung melalui kes Brown lawan Lembaga Pendidikan Kansas, Akta Hak Sivil tahun 1964 dan Akta Hak Mengundi 1965 digubal.

Menurut Najib, pada pilihan raya kecil di Bagan Pinang yang pengundinya terdiri daripada masyarakat majmuk, orang bukan Melayu menerima UMNO dengan hati terbuka.

Justeru untuk terus diterima rakyat, katanya, amat penting untuk parti itu berpegang kepada falsafah UMNO yang sederhana sejak penubuhannya tanpa condong sama ada kepada fahaman liberal mahupun konservatif.

3. Juarai kebajikan rakyat - Najib

KUALA LUMPUR 15 Okt. - Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini menunaikan janjinya sebaik mengambil alih tampuk kepimpinan UMNO Mac lalu untuk melakukan perubahan dalam parti dengan komitmen menjuarai kebajikan rakyat.

Dalam nada yang tenang tetapi serius, Presiden UMNO itu memberikan nasihat dan seruan - berubah untuk rakyat kepada para perwakilan dan pemerhati yang memenuhi Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).

Dengan tegas dan lantang beliau berkata, UMNO harus dilihat, ditanggap serta diyakini sebagai parti yang ampuh membela untung nasib rakyat.

"UMNO tidak boleh dilihat sebagai sebuah parti yang hanya ghairah memperjuangkan kelompok yang sedikit.

"Sebaliknya, kita mahu UMNO dilihat, dirasai serta diyakini sepenuhnya sebagai sebuah parti inklusif yang mendahulukan rakyat dan bukannya mendahulukan diri sendiri.

"Maka itu, persepsi UMNO sebagai parti untuk cari makan mesti dibuang jauh-jauh, mesti ditinggalkan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan dasar pada Perhimpunan Agung UMNO 2009 di sini.

Dalam ucapan sarat dengan ingatan dan panduan disulami pepatah, peribahasa dan perumpamaan yang penuh maksud itu, beliau menegaskan, UMNO mesti dikenali sebagai parti yang bukan sekadar mampu melakar perubahan tetapi "perlu membumi dan mendakap realiti".

Dengan membawa maksud perubahan itu harus dizahirkan, Najib berkata, UMNO tidak boleh terpisah daripada arus pemikiran dan aspirasi rakyat kerana "rakyat mahukan parti dan kerajaan memahami kehendak mereka dan mereka mahu lebih dirundingi dan didampingi secara langsung".

Dalam ucapannya bertajuk Menjunjung Tradisi, Menzahir Perubahan beliau menegaskan, UMNO mesti meneruskan proses islah (pembaharuan) dan menzahirkan perubahan-perubahan yang sesuai dengan masa.

"Realitinya, rakyat mahukan pandangan mereka diambil kira dalam menentukan hala tuju negara.

Ia seterusnya perlu dimanifestasikan pula dalam gerak kerja penggubalan dasar-dasar kerajaan demi kepentingan rakyat menyeluruh.

"Oleh kerana itu, UMNO akan terus menjuarai kebajikan dan periuk nasi semua rakyat," jelasnya.

Najib yang segak berbaju Melayu warna biru dan bersamping songket biru muda dalam ucapan lebih sejam itu, turut menyentuh peri pentingnya sejarah, 1Malaysia, pindaan perlembagaan dan perubahan sikap.

Beliau yang mengambil alih tampuk kepimpinan parti daripada Tun Abdullah Ahmad Badawi pada Mac tahun lalu berkata, UMNO akan terus mendapat tempat sebagai sebuah parti, selama mana kehendak dan kemahuan rakyat dapat difahami dalam perjuangan parti.

Menurutnya, masalah tidak akan timbul apabila aspirasi UMNO dan aspirasi majoriti rakyat Malaysia adalah satu.

"Kekalutan hanya akan wujud jika tasawwur (gambaran) UMNO tidak lagi mewakili tasawwur rakyat terbanyak.

"Hal ini ditambah burukkan lagi oleh persepsi di kalangan orang Melayu bahawa UMNO tidak bersedia untuk mengambil langkah-langkah pembetulan secara pantas," tegas beliau.

Dalam nada yang tenang tetapi tegas, Presiden UMNO itu berkata, jika perkara tersebut berlaku, maka rakyat akan menganggap UMNO bukan sahaja parti yang tidak berpijak di bumi nyata malahan bersikap angkuh serta kelihatan tidak acuh dan tidak peduli.

"Justeru, janganlah hairan jika perkara ini terjadi nanti, ramai rakyat Malaysia akan melihat UMNO bukan lagi sebagai sebahagian daripada penyelesaian, sebaliknya ia sudah berubah menjadi sebahagian daripada masalah," tegas beliau lagi.

Najib turut mengingatkan bahawa untuk terus lestari (konsisten), UMNO tidak ada pilihan, melainkan perlu membumi dan mendakap realiti.

UMNO juga kata beliau, perlu terus membuka rongga dan ruang pembaikan.
"Kuak dan kembangkanlah seluas-luasnya wadah perjuangan kita kepada semua yang ingin membantu memperkukuhkan lagi parti," katanya.


Najib menegaskan, UMNO juga harus kekal menjunjung tradisi perjuangan dengan terus menjuarai soal kebajikan dan periuk nasi semua rakyat.

Sehubungan itu, beliau mahu gerak kerja parti selari dengan tuntutan zaman dan tidak boleh lagi kelihatan sebagai parti yang hanya dilihat condong kepada satu-satu pihak sahaja.

"Sebagai tonggak parti pemerintah, UMNO tidak mampu ditanggap hanya sebagai bertumpu kepada inisiatif niaga besar-besaran atau projek mega semata-mata, tetapi sebaliknya kita mesti menjadi parti yang menjuarai rakyat.

"Khidmat UMNO juga harus merata. Kita akan tetap menjadi parti yang pro kepada pertumbuhan ekonomi berdaya tahan, pengagihan kekayaan yang adil, jaringan keselamatan sosial menyeluruh dan kos hidup terkawal," tegasnya.

4. Bantuan Untuk Orang Melayu Tetap Diteruskan

KUALA LUMPUR, 15 Okt (Bernama) -- Bantuan kepada orang Melayu tetap diteruskan kerana secara keseluruhan mereka dilihat masih lagi ketinggalan dan memerlukan bantuan, kata Datuk Seri Najib Tun Razak Khamis.

Perdana Menteri berkata sekalipun ada yang mendabik dada bahawa mereka tidak lagi memerlukan sokongan, hakikatnya masih ramai yang memerlukan pertolongan kerajaan.

"Hari ini kita melihat bagaimana produk tindakan afirmatif serta Dasar Ekonomi Baru (DEB) begitu gah dan bangga mendabik dada bahawa mereka tidak perlu lagi topang dan sangga."Katanya mereka boleh berdiri di atas kaki sendiri tanpa perlu bergantung kepada pertolongan kerajaan. Tampaknya golongan ini lupa kepada satu hakikat yang besar," kata Presiden Umno itu ketika berucap di hadapan lebih 2,500 perwakilan pada perhimpunan agung parti di sini.

Najib: "Maksud saya jika benar pun mereka telah cukup berupaya untuk membuang topang yang menyangga mereka selama ini, bagaimana pula halnya dengan orang-orang Melayu lain yang masih memerlukan bantuan?"Adakah adil namanya jika topang ini dinafikan kepada kumpulan yang layak menerima, hanya kerana orang yang sudah mendapat bantuan tidak lagi bergantung kepadanya."

Dalam ucapan dasar sulung beliau yang bertema "Menjunjung Tradisi, Menzahir Perubahan" itu, Najib berkata tidak ada siapa dapat menafikan orang Melayu menikmati faedah yang besar hasil pelaksanaan DEB dan kini mempunyai kelas menengah yang besar.

"Keadaan ini hampir tidak wujud tatkala Dasar Ekonomi Baru dilancarkan pada tahun 1971. Siapakah juga yang dapat menafikan bahawa hari ini terdapat golongan profesional Melayu dalam skala yang besar sebagai mahsul daripada langkah-langkah Dasar Ekonomi Baru," katanya.

Namun, kata Najib, isu sebenar bukanlah soal bantuan tetapi soal pengurusan dan pentadbiran bantuan tersebut yang berfokus kepada yang masih memerlukan."Faktanya, orang Melayu dilihat dari lensa keseluruhan, masih ketinggalan dan memerlukan bantuan. Itulah sebenarnya yang menjadi perhitungan utama," kata beliau. -- BERNAMA

5. Mutiara Kata Najib Pada Perasmian Perhimpunan Agung Umno

KUALA LUMPUR, 15 Okt (Bernama) -- Berikut ialah sebahagian daripada mutiara kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak ketika menyampaikan Ucapan Dasar selaku Presiden Umno pada majlis perasmian Perhimpunan Agung Umno 2009 di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini:

Mengenai perjuangan Umno:
* "Umno harus dilihat, ditanggap, serta diyakini sebagai parti yang ampuh membela untung nasib rakyat. Umno tidak boleh dilihat sebagai sebuah parti yang hanya ghairah memperjuangkan kelompok yang sedikit. Sebaliknya, kita mahu Umno dilihat, dirasai serta diyakini sepenuhnya sebagai sebuah parti inklusif yang mendahulukan rakyat dan bukannya mendahulukan diri sendiri. Maka itu, persepsi Umno sebagai parti untuk cari makan mesti dibuang jauh-jauh, mesti ditinggalkan".

* "Umno tidak boleh lagi kelihatan sebagai parti yang hanya dilihat condong kepada satu-satu pihak sahaja. Sebagai tonggak parti pemerintah, kita tidak mampu ditanggap hanya sebagai bertumpu kepada inisiatif niaga besar-besaran atau projek mega semata-mata, tetapi sebaliknya kita mesti menjadi parti yang menjuarai rakyat".

* "Yakinlah, perjuangan kita adalah perjuangan yang betul, yakinlah, perjuangan kita adalah perjuangan yang haq. Kitalah Umno, satu-satunya parti yang membawa obor harapan dan mampu meneroka masa depan dengan penuh gilang-gemilang."Walau apapun dugaan, walau apapun rintangan, bersama segunung harapan, perjalanan ini kita teruskan, bersama menggenggam keyakinan, segala impian pasti dilunaskan, setitik dijadikan laut, segumpal dijadikan gunung".Mengenai kemenangan BN pada pilihan raya kecil DUN Bagan Pinang:

* "Kita tidak boleh mudah berasa selesa atau lega bahawa kita menjadi parti pilihan rakyat, hanya kerana tiada parti lain yang boleh diharapkan, atau dengan kata lainnya, yang terbaik antara yang buruk".

* "Kita mahukan Umno diterima rakyat sebagai sebuah parti yang memperjuangkan bukan sahaja untung nasib Melayu dan Bumiputera akan tetapi menjangkau semua kumpulan etnik di Malaysia".Mengenai kepentingan sejarah:

* "Peristiwa sejarah bukan sahaja untuk dicontohi dan diikuti, tetapi ia menunjang sebagai peringatan dan sempadan terbaik kepada umat manusia bagi mengurus realiti semasa untuk melakar hari muka dengan lebih berjaya".Mengenai peranan Umno selepas peristiwa 13 Mei 1969:

* "Umno berusaha keras untuk mengembalikan demokrasi dalam masa 18 bulan. Ini jelas mempamerkan bahawa Umno bukanlah sebuah parti yang mabukkan kuasa, jauh sekali sebagai sebuah parti yang bersifat perkauman".Mengenai sifat pemimpin Umno:

* "Antara sifat pemimpin yang paling didambakan dan digemari rakyat adalah sifat merendah diri dan Tawadhuk. Ingatlah bahawa, dalam negara demokrasi seperti ini, rakyatlah yang memilih pemimpin.

"Mereka yang menunjukkan keikhlasan dan merasai keseronokan menabur bakti kepada rakyat akan menjadi pemimpin yang disanjung".

* "Untuk mengukuhkan kepercayaan rakyat tentang kewibawaan dan integriti Umno, ia bukan sahaja setakat dilaungkan, tetapi ia juga mesti dipampang dengan jelas dalam bentuk amalan, tindak tanduk dan aktiviti juga gerak kerja semua ahli dan pemimpin".Mengenai falsafah perjuangan Umno:

* "Saya menyeru agar ahli-ahli Umno menyegarkan kembali budaya khidmat dan kesukarelawanan dalam parti. Ikhlaskanlah diri untuk menumpah bakti dan jasa tanpa disuruh-suruh demi kepentingan parti dan rakyat Malaysia".Mengenai pindaan perlembagaan Umno:

* "Setelah pindaan kita lakukan, berhijrahlah meninggalkan gejala negatif seperti politik wang, supaya kita menjadi parti yang bersih dan dihormati".Mengenai Konsep 1Malaysia:

* "Konsep 1Malaysia tidak sekali-kali menyimpang daripada roh Perlembagaan Persekutuan sebagai undang-undang negara sama a

* "Kita tahu rakyat masih sayangkan Umno. Apa yang mereka inginkan hanyalah agar Umno berubah. Nyatanya, kita mendengar hasrat rakyat ini. Kita akan berubah".-- BERNAMA .

Oleh kerana apa yang bakal dilakukan adalah untuk kebaikan rakyat dan negara ini dan tidakhanya terhad kepada orang Umnoatau orang parti-parti omponen sahaja, apa salahnya kita berdoa agar apa yang diniat dan diusahakan menjadi kenyataan dan kita akan dapat ikut merasakan nikmatnya.

Mendoakan kemusnahan dan mengharapkan kegagalan orang lain untuk digembirakan bukan sifat orang Islam yang dilengkapi dengan iman dan takwa. Kena ingat Islam tidak akan bernilai apa-apa tanpa iman dan takwa.

Kalau ragu, hujah ini boleh rujuk Ustaz Muhammad Mustapha, ADUN Lundang.

3 comments:

Anonymous said...

assalamualaikum
saya perhatikan, saudara mkj byk dan kerapkali gunakan perkataan takdir...bila pas kalah..sudah takdirnya begitu...bila umno begitu begini...sudah takdirnya begitu

bagi saya yang jahil..mmg benda takdir tu betullah. tapi jangan sampai orang yang membaca silap n salah faham yang membawa kepada jabariah dan sebagainya. cara abg li ulas tu nampak ke arah itu.maybe itu hanyalah apa yang saya nampak. maybe abg li nak membawa pembaca kepada tuhan tetapi jangan dengan cara yang orang buleh faham abg li bawa
kepada aliran jabariah...ni saya copy pastekan pasal takdir daripada website di bawah

http://al-fikrah.net/Forums/viewtopic/t=8193/postdays=0/postorder=asc/start=0.html

mmg lah takdir...kalau semua org jawab salahkan takdir, maka tak perlulah apa jua post-mortem...

pernah seorang di bawa ke mahkamah kerana mencuri...

bila peguam tanya kenapa dia mencuri, dia jawab,sudah suratan takdir dia dilahirkan sbg pencuri..

Maka Hakim pun jatuhkan hukuman...maka kerana suratan takdir jualah, kamu dihukum potong tangan....

masa tulah dia menjatuhkan diri, merayu-rayu...baru dia tahu takdir telah makan diri....

a.m

pemudacakna said...

Saya merasakan ada orang yang tidak faham atau pura-pura tidak faham tentang takdir yang diperkatakan oleh saudara MKJ. Janganlah perkara mengenai takdir ini diputar belitkan seperti isu-isu politik. Saya melihat pandangan saudara MKJ tidak cenderung sekali-kali kepada fahaman jabariah kerana fahaman jabariah menyerahkan bulat-bulat kepada takdir tanpa berusaha tetapi saudara MKJ bukan bermaksud begitu.
Setelah berusaha dan berikhtiar dan berdoa dan dicampur oleh sembahyang hajat oleh tok guru dan tak padan dengan itu oleh tok guru pondok lagi tetapi masih kalah juga, janganlah salah kepada orang lain sebaliknya renunglah kepada diri sendiri adakah apa yang dibuat itu betul atau selari dengan kehendakNya. Dan mengapa usaha kita itu gagal? Dan akhirnya terimalah takdir seadanya. Sesungguhnya DIA yang berkuasa, DIA berhak menentukan segalanya.

Budak Pondok Lubuk Tapah said...

Kerana tiak faham tentang takdir dan Qada' dan Qadar inilah hidup jadi kelam kabut,penuh dendam kesumat, wujudnya persepsi liar, tohmahan tidak berasas, curiga,wasangka dan sebagainya yang membawa lagha untukmenilai diri sendiri.

Kerana tiak sedar bahawa segala-galnya milik Allah, menang mlik Allah kalah pun milik Allah menyebabkan yang menang riak, angkuh dan sombong manakala yang kalah pula akan dendam daN marah sambil tuding sana sini yang boleh memabawa kepada buku balah. Yang menang juga akanMENGKERANAKAN selain dari kerana ALLAH.

Kerana dirasakan milikkita,tangan,kaki, telinga, mata dan segala anggota kita digunakan ikut suka kita merasakan baha ianya milik mutlak kita walhal semuanya miliki Allah, kita hanya diberi amanah. sebagai pemegang amnah kta tidak akan gunakan anggota badan kita ikut suka kita tetapi akan guna sekadar apa yang dibnakan oleh pemliknya.

Manusia yang menganggap alat kelaminnya sebagai hakmiliknya dan boleh digunakan sesuka hati sanggup melakukan zina walhal perbuatannya itu tlah pecah amanah kepada pemilik/pencipta alat kelamin itu yang diberi amanah beserta pantang larang dan hak pengunaannnya.

Demikian juga kemenangan dalam pilihanraya dirasakan hakmutlak parti yang bertanding, maka sanggup dibuat apa sahaja termasuk menipu dan sebagainya walaupun prbuatan itu haram, bila kalah akan ditduh lawan menipu keranapada jangkaan lawan juga akan melakukan sepert apayang dilakukan walaupun lawan blum entu buat apa yang disangkakan.

itu yang saya nampak cuba MKJ bangkitkan, kalau menang atau kalah biarlah dalam keadaan bersih dan diterima dengan syukur dan insaf.