Monday, October 12, 2009

MUNCUL KEMBALI (435)

Pas kalah di Bagan Pinang kerana orang PKR undi Umno?

SEMASA pulang dari hantar anak bongsu yang belajar di darjah empat Sekolah Kebangsaan Sultan Ismail pagi tadi dan mahu bersarapan pagi di sebuah kedai kopi, seorang rakan lama tarik tangan saya dan duduk semeja dengannya bersama empat lagi rakannya yang sedang lahap membaham nasi berlauk serati.

"Gu lamo kawe, Ustaz Ramli. Taukeh dan ketua pengarang Mingguan Wasilah, Mingguan Konsep, Fajar Islam, majalah Wasilatul-Ummah, Geletek, Aneka Peristiwa. Dulu wartawan Bernama, bekas wartawan Harian Nasional, bekas Ketua Biro Harian Watan. Lloni ni jadi taukeh sendiri" bangga dan manggok bunyinya dia memperkenalkan saya kepada kawan-kawannya.

Masing-masing berhenti makan dan bersalaman dengan saya. Masing-masing merenung saya agak lama, seorang yang berjubah tanpa kopiah munasabah ke dikatakan pemilik dan ketua pengarang kepada majalah mingguan dan akhbar bulanan. Saya agak itu yang bermain di kepala meeka menyebabkan mereka merenung saya agk lama. Lantas saya jelaskan bahawa Mingguan Wasilah bukan milik saya lagi, ianya sudah dijual kepada sorang rakan.

"Orangnya nampak selekeh tapi dia CEO kepada lima syarikat sendiri ni. Dia juga pemilik blog melikapakjangat.blogspot.com" jelasnya membuatkan saya agak resah kerana dia semacam cuba mempersohorkan seorang yang tidak sepatutnya dipesohorkan. Dia membahasakan saya ustaz kerana saya sering berjubah dan kami kerap bertemu di masjid. Adakalanya janggut saya agak panjang kalau bini saya tidak curi gunting sewaktu saya tidur atas alasan tak sedap kelih.

Saya yakin kempat-empat rakannya tidak jujur bila mendakwa sering baca Mingguan Wasilah kerana sebutan Wasilah masing-masing tidak berapa lendek mana. Tengok kepada gaya, keempat-empatnya adalah kakitangan kerajaan macam rakan saya tu kerana pakaian masing-masing kemas dan kasut berkilat. Siap bertali leher lagi. Macam mana pun saya tidak bertanya apa pekerjaan mereka sebagaimana saya tidak suka kalau orang tanya apa pekerjaan saya.

Rakan saya itu kata: 'hari ni sat ggoba....kawe belanja demo. Lagu mana komen demo dengan keputusan pilihanraya Bagan Pinang?". Selepas minta nasi belauk sayap serati campur kerpeh ayam kamung, saya memberi pandangan saya sebagaimana apa yang telah saya posting dalam blog saya menyebabkan keempat-empat rakanya terlopong.

Mereka yang turut membahasakan saya dengan 'ustaz' mula bertanya beberapa soalan. Tadinya mereka lihat saya dengan endah tak endah sahaja. Saya yakin mereka tidak percaya bahawa saya adalah sebagai mana yang rakan saya persohorkan kepada mereka. Melihat kepada jubah beharga murah yang saya pakai, kalau diberitahu bahawa saya tok siak masjid pun barangkali mereka tak boleh percaya.

"Hujah ustaz munasabah dan saya setuju sangat dengan yang ustaz kata kita wajib percaya bahawa kemenangan Umno/BN di Bagan Pinang sudah sedia tersurat oleh takdir-Nya yang tidak boleh diubah oleh kebijkasanaan dan kehebatan pemain politik dalam mengatur strategi" kata seorang daripada mereka.

"Tapi gu kawe yang kuat Pas, sampai ambil cuti sepanjang tempoh kempen dan berada sepenuh masa di Bagan Pinang kata, Pas kalah kerana orang PKR (Parti Keadilan Rakyat) tidak undi Pas, Mereka undi Umno. Askar ramai yang sokong Pas" celah seorang lagi rakan kepada rakan saya.

"Ya ke?" soal rakan saya dan mukanya dipalingkan ke arah saya dan fahamlah saya bahawa beliau mahukan komen saya. Saya katakan bahawa Umno/BN kalah dalam pilihanraya kecil yang diadakan pun kerana orang Umno tak undi Unmo, mereka undi pembangkang.

Saya katakan bahawa itulah namanya politik, hari ini parti kita disokong belum tentu esok pun kita masih disokong. Rakyat perhati apa yang pemimpin parti cakap dan buat. Apa yang pemimpin politik rasa dan kata partinya lebih baik dari parti lawan, belum tentu majoriti rakyat akan rasa serupa dengan pemimpin parti berkenaan kata dan rasa.

Bagi saya sama ada menang atau kalah ianya adalah merupakan ujian, yang menang diuji dan yang kalah juga diuji. Jika yang menerima kemenangan bersyukur dan tidak angkuh, sombong,bongkak dan riak, ianya akan berpahala tetapi jika sebaliknya, maka bukan sahaja akan berdosa tetapi boleh juga ditimpa bala dan kehancuran.

Demikian juga bagi yang kalah, kalau kekalahan yang diterima menjadikan mereka terdorong untuk memuhasabah diri dan insaf dari kesilapan masa lalu tanpa sengaja mengadakan sebab dan musabab atas kesalahan yang menimpa, mereka akan berpahala, jika sebaliknya akan berdosa.

Yang kena diterima sebagai hakikat yang hakiki ialah Allah Maha Mengetahui kenapa Umno/BN ditakdirkan menang di Bagan Pinang dan Pas kalah di kawasan berkenaan dan kena diyakini bahawa Allah tidak pernah melakukan kesilapan dalam mententukan takdir-Nya kerana itu bukan sifat Allah.

Bila melihat rakan saya selok kocek kiri kanan dengan wajah yang agak cemas, saya lambai tuanpunya kedai dan saya lunaskan bayaran makan minum saya, rakan saya dan empat rakannya yang berjumlah RM18.30 dan saya mohon diri kerana ada sedikit uusan yang kena diselesaikan.

"Terima kasih, ustaz. Semula kita jjupo pulak" ucap seorang rakan kepada rakan saya manakala rakan saya hanya tersengih macam kerang busuk. Kuat parti bukan main tapi nak bayar RM18.30 pun cemasnya semacam. Tengok pada cara bepakaian boleh kalah Presiden Petronas.

No comments: