Friday, November 6, 2009

CERPEN

Eksperimenisme
oleh
RAMLI ABDUL HALIM
meli_industry@yahoo.co.uk

LIMA puluh lima kali meja ditumbuk, lima puluh lima cawan terlambung dan terlantun dari piringnya, dua ratus lima puluh lima bungkus nasi berlauk yang disusun molek ‘terbalik-kuan’ jadinya, seratus sembilan biji mata pelanggan Warung Tonggeng Rais Mumbai terbeliak dibuatnya.

Kebetulan pelanggan Warung Tonggeng Rais Mumbai ketika itu ada lima puluh lima orang, seorang daripadanya keceng sebelah matanya, terbeliak ke tidak sukar untuk dipastikan kerana kekecengannya itu.

"Pagi-pagi dah naik minyak ni pasal apa?" soal Jusoh Jongang, antara pelanggan tetap Warung Tonggeng Rais Mumbai yang baru datang untuk melepaskan gian bersarapan pagi di Warung Tonggeng Rais Mumbai dan melepas ketagih menikmati teh bekas air tangan Rais yang lebih lebat janggut di dagu dari rambut di kepalanya.

Jusoh membawa sebungkus nasi kerabu dan sekelosong etak, dipilih posisi paling dekat dengan Deroman Botak yang sedang menyinga dengan mata dan telinganya merah menyala, bibir mulutnya tercengik-cengik macam bapa kambing neruk diberi hidu bau kentut kepal lagaknya. Menonye.

Pelanggan lain diminta ‘kisa’ sikit supaya ada ruang untuknya duduk paling dekat dengan ‘gu’ lamanya itu. Kedua-duanya adalah antara regu yang mengambil masa paling panjang bertumas di Warung Tonggeng Rais Mumbai setiap pagi berbanding dengan pelanggan-pelanggan lain.

Deroman sendiri memberikan ruang untuk Jusoh duduk paling hampir dengannya, malah dihulurkan tangan dan keduanya bersalaman. Akan dipastikan Jusoh bersarapan dalam keadaan selesa dan berselara. Kalau tidak kerana bimbang akan nampak sangat cula bodek, rasanya mahu dia tolong buka kulit etak bagi memudahkan Jusoh menikmatinya.

Etak paling ‘berpalut’ dimakan dengan nasi kerabu.

Dalam muka masamnya kerana marah, Deroman paksakan ukiran sekuntum senyuman manis khusus buat Jusoh yang lazimnya dipanggil dengan ‘Soh’ saja sebagai panggilan manja, malah seringkali dipanggil ‘gu ambo’ sebagai tanda rapat dan akrab. Sebagai ‘gu’ lama, sejak ketika masih muda belia lagi, dia tahu Jusoh bengkeng orangnya, maklumlah titih Raja Jembal, bukan alang kepalang gedebenya.

Gocoh sekeh, sepak tampar orang, dah jadi macam nasi makan air minumnya. Lagi pun kerana jongang dan nampak sentiasa tersengih jadinya oleh kerana kedudukan giginya, sukar untuk dipastikan sama ada Jusoh dalam keadaan marah atau sebaliknya, sama ada dia dalam keadaan suka dan gembira atau sedang berdukacita.

Dalam tidur pun Jusoh tetap tersengih, malah dalam menangis terisak-isak pun ‘gu’nya itu tetap terkenyih kerana kejongangannya. Payah untuk melihat Jusoh marah bila ‘gu’nya itu marah.

Seringkali Jusoh gocoh orang dalam keadaan dia tersengih dan terkenyih kerana tidak dapat menahan marah, dalam keadaan orang lain nampak macam dia bukan tengah marah walaupun ketika itu hati dan perasaannya sedang marak terbakar.

"Punah"
"Apa yang punahnya?"
"Dulu PPSMI"
"Apa ke bendanya PPSMI tu?"
"Pengajaran Dan Pembelajaran Mata Pelajaran Sains Dan Matametik Dalam Bahasa Inggeris" "Tau. Saja aku nak uji mu tau ke tidak apa yang mu cakap"
"Kerana PPSMI, lima anak aku kena hantar tuisyen bahasa Inggeris"
"Tak apalah, orang lain ajar bukan mu yang mengajar anak-anakmu" "Betul bukan aku yang ajar. Tapi…."
"Tapi apanya?"
"Sebulan lima puluh ringgit seorang"
"Anakmu berapa?"
"Lima.tadi dah aku cakap"
"Dua ratus lima puluh ringgit sebulan untuk tuisyen?"
"Ha ah"
"Parak juga"
"Bukan parak juga tetapi sangat parak. Padahnya hari-hari kena garu kepada yang tak gatal" "Dah tak gatal garu buat apa"
"Nak hilangkan serabut cari duit"
"Patutlah kepalamu bubus"
"Bubus boleh tahanlah juga. Jangan botak"
"Bubus dengan botak tu sebutan saja berbeza tapi wajahnya hampir sama, tidak banyak beza"

Deroman Botak tidak memberikan responnya. Tumpuan pemikiran berputar untuk mencari formula, rangka dan kerangka usaha untuk mencari duit.

Baginya mahu dapatkan dua ratus lima puluh sama payahnya dengan nak cari dua ribu lima ratus, dua puluh lima ribu, dua ratus lima puluh ribu, dua point lima juta, dua puluh lima juta atau dua puluh lima billion.

Baucer tuisyen walaupun ada tetapi bukan mudah untuknya dapatkan untuk anak-anaknya kerana masalah birokrasi dan sikap duble standard pihak sekolah yang mahu pengesahan dari penghulu yang pro parti tertentu.

Kalau parti yang dianuti tidak selari dengan anutan penghulu yang cop dan tanda tangan pengesahannya menjadi syarat wajib mutlak, haram jadah nak dapat walaupun dari segi ukuran layak, anak-anaknya sejuta kali lebih dari layak.

Pelanggan Warung Tonggeng Rais Mumbai terkulap-kulap menunggu hujahan Droman dan Jusoh yang tidak lagi bertikah kata yang kadang-kadang bahasa yang keduanya guna menyakitkan telinga.

Masing-masing agak pelik kerana semasa tidak ada Jusoh, Deroman bukan main pongoh cara bercakapnya, tapi bila berdepan dengan Jusoh, Deroman jadi macam laki takutkan bini, umpama laki kena queen control.

"Hakikatnya bila lain padang lainlah belalangnya, lain orang menjadi ketua, termasuk bila bertukar menteri, maka pendekatan, corak, warna dan wajah sesebuah jabatan atau kementerian akan bertukar" Jusoh memecah kesunyian yang agak panjang.

Rais Mumbai segera mencedok air paip yang ditadah dengan baldi palstik, dibubuh dalam gelas dan dicampur dengan air panas bila Jusoh tanya kenapa air suam untuknya belum sampai-sampai ketika nasi kerabu yang dibawanya sudah habis dibedal.

Teh untuk Jusoh juga dibancuh dengan cepat dan ligat.

Muka hitam Rais, warna lazim bagi titih benua kecil India bertukar menjadi biru kerana bimbang Jusoh atau nama penuhnya Raja Jusoh bin Raja Junuh tersendat nasi kerabu kerana dia tercuai menyediakan air suam dan teh bersusu separuh cawan untuk Jusoh.

"Aku tengok dalam konteks Malaysia, kebanyakan pemimpin semacam berlumba-lumba untuk bereksperimen kalau pun tak boleh dikategorikan sebagai masing-masing dijangkiti virus, wabak, sindrom dan fenomena eksperimenisme yang memualkan" Jusoh meneruskan syarahan kedai kopinya.

Lagak dan gayanya macam ahli politik professional.

Terbaru, tokoknya, wujud cadangan supaya Bahasa Inggeris dijadikan mata pelajaran wajib lulus dalam peperiksaan Sijil Pelajaran (SPM), barangkali lanjutan kepada PPSMI, membuatkan Deroman, malah aku rasa orang lain yang sesak nak mampus macam Deroman mengamuk marah sampai tumbuk meja tunjuk pongoh, tapi apa faedahnya, orang atas tak dengar, malah tak tahu pun Deroman marah, sebaliknya tangan Deroman sendiri yang sakit, bengkak dan berdarah.

Deroman masih tidak memberikan sebarang respon.

"Dalam penentangan banyak pihak, khususnya kalangan yang sayangkan bahasa sebagai cermin bangsa terhadap PPSMI dan ianya didesak agar dimansuhkan, kenapa boleh timbulnya pula cadangan supaya BI dijadikan mata pelajaran wajib lulus dalam SPM" Jusoh seakan mengajukan soalan itu kepada semua pelanggan Warung Tonggeng Rais Mumbai. Tidak ada siapa pun yang buka mulut.

"Bagi aku ianya lebih bersifat eksperimenisme oleh menterinya supaya nanti akan tertinta jasa, pembaharuan, reformasisme, revolusisme, prestasisme dan reputasisme seorang menteri dalam sejarah sistem pelajaran dan pembelajaran negara. Seolah-olah Bahasa Melayu yang kini dikatakan dituturkan oleh 300 juta penutur dan diajar pada 115 buah universiti di 35 buah negara tidak diyakini oleh bangsa Melayu sendiri yang bergelar pemimpin untuk dijadikan bahasa ilmu, bahasa teknologi dan maklumat global" tokok Jusoh yang tidak sedar dalam semangat patriotik yang berkobar-kobar, dia masih juga guna bahasa Inggeris yang ditambah dengan ‘sme-sme’nya, barangkali nak tunjuk dia pun banyak membaca dan boleh menstadardkan bahasa percakapannya.

Dia juga semacam meneruskan ajuan pertanyaan kepada mereka yang sedang mendengar syarah kedai kopinya kenapa bahasa yang sudah pun dibawa oleh anak raja Melayu bernama Sanjaya merentasi Lautan Pasifik, malah pernah sampai hingga ke Baghdad mengadap Khalifah Harun Aminurrasyid lebih 500 tahun yang lalu dalam siri jelajah dan jajahnya, sanggup diperlekehkan.

"Jawapanya ialah orang yang memperlekehkannyalah yang patut tepuk dada tanya selera, tumbuk dahi tanya sama hati supaya kejatian kemelayuan dapat dilihat masih ada tersisa dalam kepala dan jiwa raga atau pun sebaliknya. Tumbuk meja macam Deroman tak guna. Orang nak selesai masalah guna kepala berotak, bukannya guna penumbuk" dalam syarah kedai kopinya sempat juga dia kenakan Deroman yang mungkin kerana terasa hati, asyik garu kepala yang jumlah rambutnya sudah tidak berapa ‘jenuh’, terutama pada aras ubun-ubunnya.

Bagi Jusoh sejarah orang Melayu buta jawi yang merupakan tulisan pencermin bahasa dan bangsa Melayu gara-gara dasar pendidikan negara tidak patut berulang semata-mata kerana kegahirahan dan kecenderungan memBERHALAkan bahasa Inggeris bagi maksud menghambat kemajuan dan globalisme.

Kepadanya buta jawi secara tidak langsung akan menjadikan bangsa Melayu yang mendabik dada bahawa Islam adalah agama anutan, menjadikan orang Melayu akan buta al-Quran yang merupakan ibusawat bagi segala ilmu untuk kesejahteraan di dunia dan di akhirat.

Huruf-huruf yang dipakai dalam tulisan jawi adalah merupakan huruf-huruf yang mencatatkan ayat-ayat al-Quran, kecuali tiga huruf yakni ‘go’, ‘co’ dan ‘nyo’ yang sengaja ditambah oleh pakar huruf dan sebutan demi keperluan huruf bagi mengeja sebutan lidah Melayu.

"Gara-gara buta al-Quran, kitab suci yang patut dijadikan rujukan mutlak itu akan dipandang mudah dan lekeh. Padahnya lihatlah apa yang telah dan sedang belaku kepada bangsa Melayu, terutama kepada anak-anak muda Melayu sekarang. Kerana bahasa Inggeris diperDEWA dan diBERHALAkan, maka tidak hairanlah kalau anak-anak muda Melayu lebih seronok dan lebih gah membentuk diri yang selari dengan gaya dan resam hidup pemunya bahasa Inggeris itu sendiri. Mahu tidak mahu kita akan menjadi suatu bangsa yang hanya nampak dari sudut zahirnya sahaja merdeka tetapi dalam bentuk hakikat, pemikiran, fe'el perangai dan resam hidup, bangsa Melayu dan bahasanya masih terus terjajah dan dijajah" syarah Jusoh.

Dalam syarahan kedai kopinya itu ada nada marah. Alangkah baiknya, tokok Jusoh, kalau mata pelajaran bahasa Arab dijadikan mata pelajaran wajib lulus dalam peperiksaan bebanding dengan bahasa Inggeris, setidak-tidaknya kepada pelajar berbangsa Melayu kerana selain dari ianya menjadi bahasa al-Quran, bahasa Arab adalah merupakan bahasa resmi bila kita masuk kubur dan juga di akhirat nanti.

"Dalam kubur kita tidak akan ditanya ‘siapa Tuhan kamu menggunakan bahasa Inggeris, sebaliknya akan disoal dengan 'Maarobbuka?' yang membawa maksud siapa Tuhanmu, menggunakan bahasa Arab. Malah selepas mati semua bahasa tidak akan laku lagi di pasaran pertuturan dan komunikasi selain dari bahasa Arab.

Kalau kita benar-benar berpandangan jauh, bukan bahasa Inggeris yang diutama dan dimegahkan tetapi akan diutamakan bahasa Arab kalau pun sebagai orang Melayu kita rasakan bahasa Melayu tidak cukup standard untuk dijadikan bahasa ilmu, bahasa teknologi dan maklumat global.

Harus diingat bahawa daripada kira-kira sejuta patah pekataan bagi keseluruhan bahasa Inggeris, hampir separuh daripadanya adalah merupakan bahasa yang dibahasa-Inggeriskan sedangkan bahasa Arab pula bukan sahaja tidak mengandungi bahasa lain yang dibahasa-Arabkan, sebaliknya bahasa Arab itu banyak dibahasakan ke dalam bahasa-bahasa lain" syarah Jusoh yang entah fakta itu dipetik dari mana, samalah seperti entah dari maka fakta diperolehi bila dia pernah kata panjang tali perut manusia setiap orang adalah seratus enam puluh meter dan perjalanan yang begitu jauh melalui tali perut yang begitu panjang menyebabkan apa yang dimakan hancur, bila ditelan biji rambut telan, nundunya habis ghaib, yang tinggal cuma bijinya sahaja bila diberakkan.

"Kalau bahasa Inggeris diwajibkan sebagai mata pelajaran wajib lulus SPM, anak-anak orang miskin macam aku yang akan jadi mangsa. Nak hantar tuisyen tak mampu. Kalau seorang anak barangkali boleh tahan lagi, kalau dah lima orang yang terpaksa dihantar tuisyen, macam mana kepala aku ni nak boleh ada rambut lagi" Deroman mencelah.

"Bukan Deroman saja, malah ramai yang akan terima padah. Kalau bahasa Inggeris diwajibkan lulus dalam SPM sebagai antara dasar pelajaran negara, aku yakin musibah tidak lulus SPM akan ditanggung oleh para pelajar di luar bandar yang tidak mempunyai kemudahan tuisyen sebagaimana di kawasan bandar.

Aku yakin guru-guru yang mengajar di kawasan luar bandar yang fasih berbahasa Inggeris pun bahasa Inggerisnya akan berbau pucuk paku atau celur pucuk ubi cecah budu bila mengajar bahasa Inggeris disebabkan pengaruh suasana sekitar yang sekaligus akan mempengaruhi keupayaan untuk menguasai bahasa Inggeris di kalangan murid"

"Maknanya kau menentang bahasa Inggeris dijadikan mata wajib lulus dalam SPM?"

"Aku bukan menentang, tetapi minta dikaji sebelum dilaksanakan. Kena diakui orang yang mampu menguasai dua bahasa akan lebih cerdik dan lebih berpengetahuan dari orang yang hanya kuasai satu bahasa. Yang kuasai tiga bahasa, akan lebih cerdik dan lebih berilmu serta lebih berpengetahuan dari orang yang hanya menguasai satu atau dua bahasa"

"Jadinya?"
"Apa salahnya kalau bahasa Arab juga dijadikan bahasa wajib belajar supaya anak cucu kita akan faham isi kandungan al-Quran yang merupakan ibusawat bagi segala ilmu. Tidak ada ilmu yang lebih sempurna dan berguna dari apa yang terkandung dalam al-Quran"
"Aku setuju"
"Setakat mu, Deroman bin Daud setuju, ianya tidak mungkin boleh digezetkan sebagai suatu dasar"
"Maknanya yang mu cakap tu tak layak digezetkan?"
"Nama dah syarah kedai kopi. Tak ubah macam debu atas tunggul saja, disepuh angin hilang ghaib tanpa bekas. Yang dapat labanya Rais Mumbai tuanpunya warung ni. Setahun sekali balik India bawa balik duit kita semua sebagai pelanggannya. Kiralah bila dua ratus hingga tiga ratus nasi bungkus habis terjual sehari, berapa dia dapat. Si Rais tak pandai cakap orang putih. Dia cari rezeki di tempat kita dengan berkomunikasi dalam bahasa Melayu, itu pun tunggang langgang, terbalik-kuan"
"Ada makna berlapis dalam apa yang mu cakapkan ni" Deroman cuba jolok dan ‘pong-jijak’ Jusoh.
"Bagi akulah. dalam keinginan mahu berekserimenisme bagi tujuan penintaan dan pemahatan nama dan ketokohan oleh tokoh dan para pemimpin kita, adalah tidak wajar jika masa depan dan peluang anak bangsa, prestasi, reputasi, maruah dan nilai tradisi bahasa dan bangsa digadai dan diperjudikan. Kalau kita tidak yakin dan tidak percaya dengan bahasa kita, kalau kita sendiri rasa bahasa kita tidak cukup mampu untuk menjadi bahasa ilmu, bahasa teknologi dan maklumat global, siapa lagi yang akan yakin dengan bahasa kita"

"Bukankah PPSMI dah diputuskan akan dibatalkan,matapelajaran sains dan matemetik akan diajar dalam bahasa Melayu semula" celah seorang pelanggan. Nampak romonya macam seorang guru dari sekolah berdekatan yang mungkin ponteng kelas untuk buka bual kedai kopi.
"Ya ke" getus Deroman
"Menteri pelajaran sendiri yang umumkan'
"Alhamdulillah!" sahut Jusoh.
"Bila mulanya?" tanya Deroman
"Tahun 2012"
"Lambat lagi. Entah aku dan Deroman yang sudah berusia senja ni hidup lagi ke tidak. Tapi tak apalah,sekurang-kurangnya keputsan tetap kekal sebagai keputusan. Jangan pula nanti bila bertukar menteri, keputusan bertukar pula" syaarah Jusoh yang turut menyentuh soal kereta bersia lima tahun kena wajib menjalan pemeriksaan/ujian yang kemudiannya ditarik balik peraturan itu kerana jika ianya tidak ditarik balik, lebih empat juta pemilik kenderaan lama, termasuk dia dan Deroman yang masih menggunakan kereta tahun 1980 akan menghadapi masalah.

Dia mahu pun Deroman pakai kereta lama bukan kerana dia dan Deroman sukakan kereta antik tetapi kerana hanya itu yang mampu dimiliki. Kalau nak beli kereta baru mahu tak mahu kena bayar ansuran.

Masalahnya dia dan Deroman bukannya makan gaji, tidak ada pendapatan tetap. Kalau gagal bayar tiga kali bayaran ansuran, tak semena-mena akan jadi buruan penarik kereta, mahu tak mahu dia dan Deroman akan jadi macam pelarian hanya kerana pakai kereta baru, kerana mengamal cara hidup tidak mengukur baju pada badan sendiri.

Tidak ada siapa yang memberi respon pada syarahan kedai kopi Jusoh, entah kerana setuju atau kerana tidak faham dengan apa yang disyarahkan. Banyak yang sepatutnya tidak jadi kontroversi menjadi isu yang yang dipertikaikan, yang diperdebatkan ekoran dari tidak faham dan salah faham dan tidak cukup maklumat kerana ramai yang lebih bangga beli rokok yang semakin tinggi harganya dari membeli akhbar untuk dapatkan maklumat semasa!

No comments: