Wednesday, November 18, 2009

MUNCUL KEMBALI (511)

Jika SPRM ada kerajinan luarbiasa, semua orang kena lebih cermat dalam bercakap kepada media

SAYA akan hadapi perbicaraan pada 23 November ini gara-gara Kementerian Dalam Negeri (KDN) membuat pendakwaan kerana saya menerbitkan mingguan FAJAR ISLAM ketika permitnya tamat tempoh.

Kalau sabit kesalahan saya boleh didenda RM20,000 atau tiga tahun penjara atau kedua-dua sekali.

Dalam keadaan sekarang, sebagaipengangur tua,kalau dendanya sekadar RM1,000 sahaja pun, saya kena pilih masuk penjara.

Saya terbitkan akhbar berkenaan yang telah diluluskan pembaharuan permitnya kerana setelah lama menunggu tetapi permit tetap tidak kunjung datang walaupun wang pos pembayarannya sudah dihantar.

Ketika saya telefon ke KDN, bukan sahaja kena berpuluh-puluh kali dail baru ada orang sahut, bila telefon diangkat, kendengaran ketawa berderai ramai-ramai macam tenah bergurau dulu barulah hallo dan salam saya dijawab dan diberitahu permit Fajar Islam masih dalam proses.

Panas hati dengan gelagat di Bahagian Kawalam Penerbitan & Teks Al-Quran KDN, saya ambil keputusan terbitkan Fajar Islam menggunakan nombor permit yang sudah tamat tempohnya. Padahnya saya didakwa

Seorang pegawai KDN dari pejabatnya di Kota Bharu (seorang wanita yang masih muda) yang menelefon saya untuk bertemu saya bagi menyerahkan notis perbicaraan berkata beliau acapkali datang ke pejabat saya tetapi sentiasa bertutup.

Bila saya beritahu perniagaan terpaksa ditutup apabila para pengedar tidak lagi berminat mengedar akhbar mingguan dan majalah terbitan syarikat saya selepas KDN membuat rampasan terhadap Fajar Islam, termasuk di Pahang, beliau agak terperanjat.

Beliau menampakkan rasa terkilan apabila mendapati perniagaan saya yang agak lancar, akhirnya terpaksa ditutup gara-gara tindakan rampasan oleh KDN berkata, pihaknya tidak akan buat rampasan kalau tidak terima aduan.

Ertinya dalam kes Fajar Islam yang membawa kepada saya didakwa adalah kerana ada aduan dibuat dan bukannya kerana kerajinan KDN untuk mencari kes dan seterusnya mendakwa.

Tetapi dalam kes tajaan untuk Dato' Haji Nik Aziz ke Mekah rupanya Suruhanjaya Pencegahan Rsuah Malaysia (SRM) boleh menyasat isu tajaan itu berdasarkan laporan akhbar walaupun tiada laporan rasmi dibuat kepada suruhanjaya itu.

Maknanya jika ada kerajinan pihak SPRM untuk menyiasat kes-kes yang berdasarkan laporan akhbar tanpa adanya laporan/aduan rasmi dibuat kepada SPRM, maka semua orang, terutama di kalangan mereka yang bergelar tokoh kena lebih berhati-hati bila bercakap kepada media,

Ini adalah kerana kalau ada hal-hal yang berkaitan dengan rasuah,maka apa yang dicakapkan, SPRM boleh buat siasatan tuduhan rasuah berdasarkan laporan akhbar dan tidak perlukan laporan/aduan rasmi.

Laporan berikut barangkali patut direnungi untuk dijadikan panduan;

SPRM Boleh Siasat Isu Tajaan Haji MB Kelantan Berdasarkan Laporan Akhbar

KOTA BAHARU, 18 Nov (Bernama) -- Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz berkata Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) boleh menyiasat isu tajaan haji Menteri Besar Kelantan berdasarkan laporan akhbar walaupun tiada laporan rasmi dibuat kepada suruhanjaya itu.

Beliau berkata setakat ini tiada laporan rasmi dibuat kepada SPRM berhubung isu tajaan haji Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

"SPRM boleh menyiasat kes berkenaan berdasarkan laporan akhbar yang memetik pengakuan Menteri Besar itu pada 10 Nov lepas," katanya kepada pemberita selepas bertemu Nik Abdul Aziz di Kota Darulnaim di sini pada Rabu.

Terdahulu, Nazri yang juga Pengerusi Jawatankuasa Bencana Alam Nasional melawat kawasan dilanda banjir di Rantau Panjang, dekat sini.

Selasa lalu media melaporkan pengakuan Nik Abdul Aziz bahawa beliau ditaja pihak tertentu untuk menunaikan haji musim ini dengan kos RM65,000 dan ekoran kenyataaannya itu, SPRM membuka kertas siasatan berhubung perkara tersebut.

Disebabkan timbul pelbagai polemik politik, Nik Abdul Aziz membatalkan hasratnya untuk menunaikan ibadat haji yang sepatutnya beliau pergi pada 18 Nov.

Mengenai lawatannya ke kawasan banjir, Nazri berkata sebanyak 14 buah tandas mudah alih akan ditempatkan di pusat pemindahan mangsa banjir di stesen Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTM) di Tumpat bagi kemudahan mereka.

"Berlaku sedikit kesulitan kepada mangsa banjir kerana KTM hanya mempunyai dua bilik air, tidak mampu menampung mangsa banjir yang ramai," katanya.

Katanya Majlis Keselamatan Negara akan menyediakan jambatan Bailey bagi mengatasi masalah jambatan Sungai Durian di laluan Kuala Krai-Kota Baharu yang ditenggelami air setiap kali berlaku banjir kerana laluan itu merupakan jalan utama ke Kuala Lumpur melalui Gua Musang.-- BERNAMA.

No comments: