Saya akan kembali jadi lelaki
SEMASA ke pantai merenung ombak musim tengkujuh menerjah pantai Seri Tujuh dan kemudian Pantai Pulau Tengkorak yang memisahkan Kelantan (Pengkalan Kubur) dengan Selatan Thai (Takbai) petang semalam, saya membuat keputusan untuk tinggalkan dunia kemediaan yang telah masuk 36 tahun saya berada di dalamnya.
Sepanjang tempoh itu saya menyaksikan ada pimpinan yang menangis kerana jatuh dari kepimpinan dan juga yang ketawa kerana menerima nasib baik dalam perjuangan. Sebagai pengamal media juga, saya pernah mengambil bahagian dalam menaik dan menjatuhkan pemimpin tertentu melalui mata pena.
Pernah suatu ketika ada pemimpin (kini sudah berstatus veteren) kerana marahnya pada saya berkata kalau tidak fikirkan undang-undang yang boleh membawanya ke tali gantung, dia akan gelek saya dengan kereta sampai mampus. Itulah risiko yang dihadapi sebagai pengamal media dan penulis walaupun sekadar wartawan/penulis bertaraf ikan bilis macam saya.
Ada wakil rakyat yang labelkan saya 'budak sakit otak' dan 'saiko'. Saya masih ada empat saman yang entah bila akan dibawa ke mahkamah yakni saman oleh Kelantan Water Sdn Bhd, Pas Pasir Puteh dan Dato' Ibrahim Ali (saman-saman itu atas sifat saya sebagai Ketua Biro Harian Watan) dan kemungkinan saman Husam Musa kerana blog.
Kalau saya dihadapkan ke mahkamah lagi dan didapati bersalah dan dikenakan sejumlah denda, apakah saya mampu bayar?. Nak dapatkan RM1,500 pun bukan main payah (saya nyaris-nyaris digari dan dijelkan selama tiga bulan walaupun ketika aktif berniaga, sebelum pihak KDN bertindak menyebabkan terbantutnya perniagaan saya, sekadar menderma RM5,000 adalah seperkara yang biasa), apatah lagi kalau jumlah dendanya lebih besar.
Kalau saya kena bayar denda lagi pasti saya tidak takan mampu bayar kerana saya tidak kaya dan saya memilih dunia kemediaan sebagai aktiviti hidup harian bukan untuk kaya. Saya jadi penerbit pun bukan untuk kaya tetapi untuk memberi peluang pekerjaan kepada anak-anak bangsa, terutama di kalangan sisawazh menganggur di samping untuk menjadi saluran ilmu dan maklumat.
Kerana itu petang semalam saya merancang akan mengucapkan sayonara kepada dunia kemediaan, termasuk blog, malah saya merancang akan ikut jejak Ustaz Abdul Razak Mahmud, bekas Pengarang Majalah Pengasuh, tidak akan membaca akhbar atau melayari internet. Semua permit-permit milik saya akan saya pindah-milikkan kepada sesiapa yang berminat. Saya bersedia untuk hidup sendiri tanpa isteri dan anak-anak di sisi bagi menghabiskan sisa usia yang masih berbaki.
Kalau berdasarkan ayah saya yang pergi menyahut panggilan Illahi pada usia 67 tahun, maknanya jangka hayat saya hanya tinggal 14 tahun sahaja lagi, satu jangka masa yang tidak panjang mana pun. Belum tentu jangka hayat saya akan mencapai jangka hayat arwah ayah kerana ramai rakan-rakan sebaya, malah yang lebih muda dari saya, telah mati.
Dengan bermodalkan wang-wang pemindakan hakmilik permit Mingguan Wasilah, Mingguan Konsep, Majalah Wasilatul-Ummah, Geletek, Aneka Peristiwa dan permit mingguan berbahasa Inggeris yakni The Cressent dan The Approch, saya dan seorang rakan berbangsa Cina berasal dari Kuantan, bekas pekerja ceti yang saya sedang usahakan supaya memeluk Islam, saya bercadang menceburi bidang perniagaan lembu hidup yang diimport dari Bangkok Thailand dan juga Kemboja serta ternakan ayam kampung untuk daging dan telurnya. Tapaknya di Lubok Jong, di sebidang tanah peninggalan arwah ayah.
Kerana ramai Cina ceti yang jadi kawan saya, ada yang sebar fitnah kata saya pinjam ceti. Yang buat fitnah itu rakan-rakan terdekat juga. Kononnya kerana itulah perniagaan saya ditutup. Saya tak kisak kerana merea tidak tahu keadaan sebenar, segaa=gala hanya berpaksikan persepsi.
Hakikatnya ceti-ceti yang datang ke pejabat saya tertarik untuk lebih tahu tentang Islam bila saya tolak tawaran mereka supaya membuat pinjaman yang kononnya mudah dengan alasan orang muslim tidak boleh pinjam ceti. Walaupun ceti sentiasa bermain dengan wang tetapi tidak semestinya mereka yang bekerja dengan ceti ada wang dan hidup mewah.
Ada di antara mereka sering pinjam dengan saya untuk jelaskan ansuran kereta dan membeli keperluan dapur bagi yang sudah berkeluarga, lazimnya mereka akan pinjam menjelang musim perayaan. Seronoknya bagi pinjam dengan mereka kerana mereka menepati janji. Kalau janji sebulan bayar baliknya, maka sebulanlah akan dibayar, tidak akan ditangguh walaupun sehari.
Mereka pelik bila mereka meminjam dari saya dan mereka nak berikan keuntungan pada kadar-kadar tertentu, saya menolaknya. Mereka tanya apa untung yang saya dapat, saya kata saya akan dapat pahala. Menolong sesama manusia, malah binatang sekali pun akan diberi pahala. Saya mahukan keuntungan dalam bentuk pahala. Kerana itu mereka mahu tahu lebih banyak tentang Islam dari saya.
Sebelum jadi ceti mereka yang rata-rata bekas banduan terlibat dalam pelbagai kerja mungkar, ada anggota kongsi gelap, bekas penyamun, bekas perompak, bekas pengawal di pusat-pusat hiburan dan pelacuran.
Mereka memilih jadi ceti kerana tidak mahu terlibat dengan kerja asal mereka lagi dan mereka mahu jadi manusia lebih baik. Kerana itulah bila bercakap tentang Islam mereka mudah tertarik. Alhamdulillah, setakat ini dua pekerja ceti sudah masuk Islam setelah saya beri penerangan tentang Islam.
Ada ceti yang saya jadikan rakan kongsi menjalankan peniagaan membeli dan menjual besi buruk serta membeli dan berniagaan buah-buahan. Ekoran dari itu bila ada pekerja ceti yang memilih berhenti jadi ceti, mereka akan cari saya dan minta idea untuk memulakan penghidupan baru.
Saya pun hairan apabila pekerja mereka berhenti dan datang jumpa saya, taukeh-taukeh mereka tidak akan ganggu walaupun berhenti ceti dianggap suatu pembelotan dan hukumannya boeh dicederakan, termasuk dihkum potong jari dan sebagainya.
Entah apa yang mereka goreng pada taiko-taiko mereka tentang saya,tidak dapat saya pastikan. Ada ceti yang sukar untuk dapatkan bayaran balik dari peminjam ajak saya tolong temankan mereka jumpa peminjam dan nampaknya mudah pula dibayar walaupun masa jumpa tu saya tak cakap apa-apa pun selain dari hanya tersengih melihat mereka berbincang dalam bahasa yang saya tidak faham pun.
Hasil perbincangan dengan pekerja ceti yang baru berhenti dari kerja ceti (beliaulah yang bersama ke pantai semalam), saya memutuskan untuk memulakan perniagaan import lembuh hidup. Asalnya pekerja ceti berkenaan berminat untuk turut jadi penerbitakhbar mingguan berbahasa Cina.
Kebetulan rakan sekampung saya ada AP import lembu tetapi kuota APnya tidak cukup bagi menampung permintaan bekalan. Saya akan minta AP. Kebetuan Cina ceti rakan saya itu boleh berbahasa Thai. Jadi mudah untuk urusan dengan Bangkok dan Kemboja.
Kami akan daftarkan syarikat atas nama KKT Resources pada hari ini untuk maksud itu dan seterusnya saya akan memohon AP. Mungkin ketika ini kawan saya itu sudah berada di pejabat pendaftaran perniagaan kerana segala dokumen untuk pendaftaran syarikat saya sudah berikan kepadanya untuk urusan lanjut.
Itulah keputusan saya semalam. Dan saya sudah nekad untuk tinggalkan dunia kemediaan berdasarkan kepada keadaan yang mencemaskan saya di mahkamah semalam atas nama pengamal media. Tetapi dalam tidur semalam saya didatangi mimpi..........
Saya kelemasan di lautan yang bergelora. Saya berenang melawan arus, ketika saya hampir lemas, datang sebuah bot berbentuk pena, botnya pula ada layar. Saya terkejut bila layarnya diperbuat dari akhbar Utusan/Mingguan Malaysia, Utusan Melayu/Utusan Zaman, Bintang Timur, Berita Harian/Berita Mingguan, Harian Nasional/Mingguan Perdana, Mingguan Bumi, Mingguan Tanahair, Nusantara, Harian/Mingguan Watan, Mingguan Wasilah, Mingguan Konsep, Hakarah dan pelbagai jenis jenama akhbar dan majalah lagi.
Yang memeranjatkan saya, yang mengemudi bot itu adalah Dato' Haji Muhammad Nasir (arwah). Bot itu bernombor TNF 4825 (jangan pula ada yang tikam nombor). Beliau yang saya panggil 'Ayah Mat' adalah guru terawal saya dalam bidang penulisan dan politik. Selepas saya selamat naik atas bot, jurumudi arahkan saya selamatkan ramai lagi orang yang lemas dan sedang melawan gelombang laut.
Yang sedang berenang melawan gelombang itu ada Dato' Nik Aziz, ada Ustaz Nasaruddin Mat Isa, ada Dato' Najib, ada Tengku Adenan Tengku Mansor, ada Nik Amar Nik Abdullah, malah ada ramai lagi termasuk yang saya tidak kenal. Para artis seperti Dato' Siti Nurhaliza, Mawi, Awie, Salim dan Sharifah Aini pun ada.
Bila saya kata kalau ramai sangat yang dimuat dalam bot tentu bot akan sarat dengan muatan dan akan tenggelam, Dato' Muhammad Nasir minta saya telefon pejabat-pejabat akhbar, stesen radio dan tv meminta bantuan. Belum sempat panggilan saya dijawab saya tersedar dari mimpi oleh gema azan Subuh dari Masjid Lorong Tok Mufti dekat rumah saya.
Mimpi itu membuatkan saya terfikir kenapa mimpi seumpama itu saya alami. Kenapa yang menjadi jurumudi bot dalam mimpi adalah Dato' Haji Muhammad Nasir, kenapa layar bot diperbuat daripada kertas akhbar dan yang sedang lemas dilanda gelombang adalah tokoh-tokoh yang ternama?
Tafsiran awal yang saya buat barangkali sebagai guru terawal saya dalam bidang penulisan dan politik, arwah Dato' Muhmmad Nasir barangkali kalau beliau masih hidup, beliau tidak akan setuju dengan keuputusan saya untuk meninggalkan dunia kemediaan kerana masih banyak yang perlu saya tulis gamaknya.
Walaupun mimpi hanyalah permainan tidur tetapi saya yakin ada tujuanya kenapa saya dimpikan sedemikian. Jadi pagi ini saya membatalkan hasrat untuk bersara dari dunia kemediaan, sebaliknya saya akan dapatkan pejabat baru dan akan memulakan operasi penebitan akhbar mingguan dan majalah saya semula di samping projek yang dirancang bersama Cina bekas pekerja ceti akan diteruskan. Saya juga akan terus berblog.
Malah saya bersedia untuk terus didakwa dan didenda dalam meneruskan kerja-kerja penerbitan dan aktiviti kemediaan. Kalau pun kerananya saya akan dipenjarakan hingga akhir hayat pun, saya bersedia. Yang pasti saya akan memohon lebih banyak permit dan akan lebih tegas dalam menuntut tunggakan hutang. Kepakaran rakan-rakan berbangsa Cina bekas pekerja ceti mungkin saya gunakan untuk hadapi mereka yang liat bayar hutang.
Saya akan kembali menjadi lelaki yang akan tetap ketawa dalam tangis, yang tetap akan bangun walaupun berjuta kali akan rebah!
Monday, November 23, 2009
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
5 comments:
assalamualaikum
terkejut dengar cerita abg li nak berundur...peringkat awal artikel..
rupanya tak jadi. kalau mkj berundur, hilanglah seri.
tentang mimpi tu saya tak pasti, kena tanya orang lain. setahu saya yang jahil. kalau mimpi dekat subuh ni takleh nak percaya sangat...tapi saya tak tau hakikat sebenarnya. mungkin mainan tidur. mungkin mimpi yang benar atau sebaliknya
buat abg li...teruskanlah menulis..semoga berjaya
a.m
Salam tuan meli,
satu kerugian besar jika tuan undurkan diri,masih ramai lagi pembaca setia laman ini.
Moga tuan sabar dengan segala cabaran dan ujian.
-Tomyam
salam hormat !
satu keluhan peibadi yang amat menarik untuk dibuat renungan diantara dua persimpangan realiti dan fantasi.
hendak jadi 'orang jantan' kadangkala memerlukan kita berani menempuh risiko berani gagal disamping perlu melakukan dua tiga kerja dalam satu satu masa.Ini tidak bermakna sudah dapat gading tanduk tidak berguna lagi,ertinya tidak semesti sudah ada projek baru kerja lama terus ditnggalkan, apabila kerja asal sudah sebati dan menjadi darah daging sudah pasti sukar untuk ditinggalkan begitu sahaja.
Rasa sayu dan gembira pun ada dengar kesah abg li ni,sayu apabila mendengar seorang pahlawan pena ingin meletak senjata mata pena dan mudah mengalah hanya dek hujan sehari walaupun kemarau sudah berpuluh tahun.rasa gembira kerana minat saya dalam ternakan turut menjadi kegemaran abang li juga,mudah mudahan kita dapat sama sama berkongsi maklumat bagaimana hendak memajukan perusahaan ternakan yang dimaksudkan itu. semoga berjaya dengan cadangan hendak memulakan perusahaan baru ini.
kata orang,mimpi naik kenderaan diair, didaratan atau diudara memberi petanda kita akan menjadi beban kepada orang lain tetapi dimasa yang sama memberi guna kepada sesetengah orang (tetapi AWAS jangan terlalu percayakan tafsiran ini)
Teruskan abe li....jgn berhenti...
MAt PAsir Mas
jangan berenti abang li
WAK HAMAD
Post a Comment