Tuesday, December 15, 2009

MUNCUL KEMBALI (575)

Empat laporan menarik perhatian saya hari ini.

Laporan satu:

Najib tidak terkejut

KUALA LUMPUR 15 Dis. - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak tidak terkejut dengan kenyataan Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang menyifatkan beliau sebagai pemimpin Islam yang berani kerana melakukan lawatan ke selatan Thailand baru-baru ini.

Beliau berkata, kenyataan Mursyidul Am Pas itu seolah-olah seperti pendulum.

"Kita pelik macam mana dalam tempoh beberapa minggu beliau (Nik Abdul Aziz) telah berubah fikiran dan mengganggap saya sebagai seorang pemimpin dan pejuang Islam yang berani," katanya sambil tersenyum.

Perdana Menteri menambah, sebagai umat Islam tidak boleh ada pandangan serong terhadap mana-mana pemimpin terutama pemimpin Islam.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas wawancara mengenai hala tuju Felda tahun 2010 di Parlimen di sini hari ini.

Pada 9 Disember lalu, Najib mengakhiri lawatan ke Thailand di wilayah Narathiwat dengan membuktikan pendirian cukup berani dan komitmen luar biasa Malaysia dalam membantu mencari penyelesaian di wilayah selatan negara itu.

Buat permulaan, Najib menyatakan kesediaan menerima lima guru dari Institut Islam Attakiah, Narathiwat untuk menjalani latihan pembelajaran bahasa Inggeris di institut perguruan di Malaysia.

Lawatan Perdana Menteri ke wilayah bergolak tersebut mendapat reaksi Menteri Besar Kelantan itu dengan menyifatkan Najib sebagai seorang pejuang Islam serta pemimpin yang berani.

Menurut Nik Abdul Aziz, tindakan Perdana Menteri ke selatan Thailand dalam usaha membantu umat Islam di sana adalah satu tugas terpuji dan bersetuju dengan usaha yang dilakukan Presiden UMNO itu.

Pada Hari Raya Aidiladha lalu Nik Abdul Aziz meminta orang ramai berdoa bagi memperbetulkan pemikiran Najib supaya memberikan royalti minyak.

Ini bukan kali pertama beliau membuat seruan tersebut malah dalam kuliah mingguannya pada 18 September lalu, Pesuruhjaya Pas Kelantan itu turut mengetuai bacaan doa khas meminta Allah menurunkan bala kepada Perdana Menteri jika Kerajaan Pusat enggan membayar royalti.

Dalam pada itu ketika ditanya adakah Perdana Menteri tidak mempunyai sebarang doa kepada Mursyidul Am Pas, beliau tersenyum sambil menyatakan sebagai umat Islam hanya sentiasa mendoakan yang terbaik sahaja.

Laporan dua:

Usahawan sandaran negara berpendapatan tinggi

KUALA LUMPUR 15 Dis. - Peralihan untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara berpendapatan tinggi pada asasnya bergantung kepada kejayaan dan kegagalan usahawan negara.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, Malaysia kini sedang bersaing dengan negara-negara berpendapatan tinggi, sekali gus mengurangkan jurang kelebihan yang ada.

Beliau berkata, negara kini sedang terperangkap sebagai sebuah 'Negara Berpendapatan Sederhana', terhimpit sebagai pengeluar bergaji rendah tetapi pembawa perubahan yang pantas.

Biarpun begitu, para usahawan negara kini berada di barisan hadapan untuk berada di pasaran global, tambahnya.

Berikutan itu, adalah penting sebarang keputusan pelaburan dibuat oleh para usahawan dan pasaran kolektif.

''Untuk melepaskan daripada perangkap ini, negara perlu melakukan perubahan fundamental termasuk mengubah kepelbagaian kepada pengkhususan dan membina kepakaran pembuatan sedia ada untuk melepasi kawasan-kawasan tertentu.

''Kita perlu melakukan pembaharuan dan memulakan usaha meningkatkan momentum pertumbuhan tinggi untuk memastikan visi 2020 menjadi realiti,'' katanya ketika berucap pada majlis Anugerah Usahawan Ernst & Young kelapan, malam ini.

Muhyiddin berkata, usahawan juga perlu mengubah pengumpulan modal kepada inovasi termasuk nilai tambah sumber berasaskan industri.

Tambahnya, untuk menggunakan sumber-sumber pertumbuhan, mulai sekarang usahawan tempatan perlu lebih fokus dan menyelaras usaha mengenal pasti jurang kelebihan dalam ekonomi global.

Menurut beliau, para usahawan mempunyai berbagai platform membina transformasi dengan mengambil kelebihan lokasi geografi dan kepelbagaian kebudayaan dan peluasan kelompok industri sedia ada.

Untuk itu, usahawan-usahawan perlu mengenal pasti peta pengeluaran global melalui peluang pengkhususan dalam peringkat pengeluaran secara spesifik.

''Ini bukan lagi mengenai suntikan lebih banyak input tetapi bagaimana jumlah input yang sama boleh mewujudkan lebih banyak pengeluaran,'' ujar beliau.

Laporan ketiga:

Petanda negara turut diancam keganasan'


Hishammuddin Tun Hussein dan Abdul Halim Abdul Hamid bersama anggota Jabatan Pertahanan Awam Malaysia menunjukkan isyarat 1Malaysia pada majlis Perhimpunan Pertahanan Awam Malaysia di pekarangan Kompleks Sukan Gong Badak, Kuala Terengganu, semalam. - UTUSAN/Fauzi Baharudin

KUALA TERENGGANU 15 Dis. - Semua pihak termasuk pembangkang perlu memberi perhatian serius dengan penemuan sejumlah bom dalam serbuan polis di Kelantan semalam kerana ia memberi petanda negara ini turut diancam keganasan.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, penemuan bahan letupan buatan sendiri di Pasir Mas tersebut membuktikan negara ini turut berdepan dengan ancaman seumpama itu.

Sehubungan itu, beliau meminta agar tiada mana-mana pihak yang terlalu ghairah dan cuba bermain politik kerana ancaman keselamatan tersebut bukan dibuat-buat.

"Orang yang main politik kena faham, ancaman keselamatan bukan dibuat-buat, hari ini kita tengok sendiri di Pasir Mas (Kelantan) wujud kes yang sebegini (jumpa bom). Jangan sampai kita ghairah sangat nak dapatkan kepentingan politik untuk jadi popular," ujarnya.

Beliau menyatakan demikian pada sidang akhbar selepas menyempurnakan Majlis Perhimpunan Pertahanan Awam Malaysia Peringkat Kebangsaan 2009 di pekarangan Kompleks Sukan Gong Badak di sini hari ini.

Turut hadir, Ketua Pengarah Pertahanan Awam Malaysia, Datuk Abdul Halim Abdul Hamid.

Hishammuddin diminta mengulas mengenai serbuan polis ke atas sebuah rumah yang dipercayai dijadikan tempat menghasilkan bom buatan sendiri di satu kawasan terpencil di Kampung Gebeng, Pasir Mas, Kelantan semalam.

Dalam serbuan bermula pukul 9 pagi yang turut disertai anggota Unit Pemusnah Bom (UPB) dan Cawangan Khas itu, tiga lelaki, dipercayai warga Thailand ditahan.

Beliau memberitahu, serbuan itu dibuat atas arahan pihaknya sendiri hasil kerjasama rapat pasukan keselamatan Malaysia-Thailand dalam menangani keganasan selain penyeludupan dadah dan pemerdagangan manusia.

Beliau berkata, buat masa ini pihaknya masih menyiasat mengenai lokasi yang ingin dijadikan sasaran letupan oleh pihak terbabit.

"Kita masih siasat (sasaran letupan), tak kira sama ada nak letup di Terengganu, Malaysia, Singapura atau Thailand, nyawa tetap nyawa. Ini agenda untuk kita kongsi bersama dan dalam konteks ASEAN kita memerlukan komitmen ini," katanya.

Hishammuddin berkata, semua agensi di bawah kementeriannya diarah bergerak serius dan tiada kompromi terutama berhubung isu keganasan, penyeludupan dadah dan pemerdagangan manusia.

"Kita akan buat apa saja dan kalau ada maklumat, tindakan akan diambil untuk kita pastikan Malaysia dan negara jiran selamat," tambahnya.

Mengenai sindiket bayi yang berjaya ditumpaskan di Banting, Kajang dan Klang, Selangor baru-baru ini, Hishammuddin menyifatkan ia sebagai serius dan isu pemerdagangan manusia perlu ditangani bersungguh-sungguh.

Beliau berkata, isu itu juga memerlukan kerjasama daripada negara jiran memandangkan jenayah tersebut merentasi sempadan.

Laporan keempat:

Tuduhan pembangkang 'budaya sejagat'

SINGAPURA 15 Dis. - Datin Seri Rosmah Mansor menyifatkan pelbagai tuduhan yang dilemparkan oleh pembangkang terhadapnya sebagai berniat nakal bagi menarik perhatian rakyat.

Isteri Perdana Menteri berkata, bukan beliau sahaja yang menghadapi tuduhan malah berdasarkan perbincangan dan perjumpaannya dengan isteri-isteri pemimpin dunia lain, tindakan itu dianggap sebagai 'budaya sejagat' yang digunakan oleh pembangkang.

"Saya bercakap dengan wanita pertama dari beberapa negara dan mereka juga menghadapi masalah yang sama terutamanya sebelum pilihan raya.

"Jadi, saya tidak bersendirian berkongsi keadaan yang tidak menyenangkan ini," katanya apabila diminta mengulas tuduhan terhadapnya termasuk oleh penyiasat persendirian, P. Balasubramaniam baru-baru ini.

Balasubramaniam dalam klip video YouTube baru-baru ini mendakwa dia telah diminta untuk menarik balik akuan bersumpahnya dengan bayaran RM5 juta.

Terdahulu Rosmah menyampaikan ucaptama bertajuk 'Kepimpinan Wanita Dalam Era Baru' pada Forum Pemimpin Wanita ASEAN di Hotel Fullerton di sini hari ini.

Ia dianjurkan oleh Institut Strategi dan Kepimpinan ASEAN bersama Forum Perniagaan ASEAN.

Menurutnya, beliau dan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak tidak ada masa untuk melayan isu seperti itu.

Beliau berkata, ini kerana fokus mereka kini untuk meningkatkan kesejahteraan dan pendapatan rakyat agar menikmati kehidupan yang lebih baik demi masa depan anak-anak mereka.

"Tanggungjawab kami adalah kepada rakyat dan negara. Ia bukan tentang Datuk Seri Najib atau Rosmah," katanya. - Utusan

3 comments:

Tok ayah Su said...

KUALA LUMPUR 15 Dis. - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak tidak terkejut dengan kenyataan Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang menyifatkan beliau sebagai pemimpin Islam yang berani kerana melakukan lawatan ke selatan Thailand baru-baru ini.

Tok ayah su-Ajal maut jodoh pertemuan dan limpahan rezeki telah ada ketentuan diLohmahmuz lagi.

Terdapat seorang kenalan tok ayah su yang selamat ketika berjuang dengan penganas komunis semasa berkhidmat dalam tentera akan tetapi telah mendapat kemalangan selepas pencen kemudian terus meninggal dunia,kerana itu binalah apa bentuk bangunan segagah dan sekukuh kubu bawah tanah ala Sadam Hussin sekali pun jika sudah sampai masa ajal pasti malaikat maut akan datang menjemput!

Walau bagaimana pun keberanian pejuang pas menentang akta zalim ISA-BN juga harus dipuji tetapi apakah tidak terfikir olih kita apakah gantian dengan undang undang islam bolih menyelesaikan semua masaallah, fikir fikirkan !

Anonymous said...

Lohmahfuz, bukan Lohmahmuz

Anonymous said...

saudra Tok ayah su kata ..... " Walau bagaimana pun keberanian pejuang pas menentang akta zalim ISA-BN juga harus dipuji tetapi apakah tidak terfikir olih kita apakah gantian dengan undang undang islam bolih menyelesaikan semua masaallah, fikir fikirkan !"

########
MASALAH2 NEGARA YANG BERLAKU SEKARANG KERANA UMNO TOLAK PERLEMBAGAAN & PERUNDANGAN ISLAM SEJAK AWAL MERDEKA 1957 SEHINGGA SEKARANG! UMNO MENGANUT, PERJUANG & MENGHIDUPKAN AMALAN PERUNDANGAN SEKULAR. ..undang2 bikinan penjajah ... semestinya banyak kesesatan & kezaliman... walaupun atas nama demokrasi.

fIKIR-fIKIRLAH ....untuk tinggalkan fahaman jahiliyyah sekular UMNO tu.... kembalilah kepada syariatNya... baru sempurna iman...

Apabila ditanya oleh dua malaikat disamping mayat kamu; Apa fahaman & pegangan hidup kamu sebelum ini?.. Jawablah dengan yakin... ISLAM!