Thursday, December 17, 2009

MUNCUL KEMBALI (577)

Tiga laporan yang menarik perhatian saya hari ini

Laporan satu;

Apa sudah jadi siasatan menantu Nik Aziz?

KOTA BHARU 17 Dis. - Perkembangan siasatan dakwaan penyelewengan dan salah guna kuasa menantu Menteri Besar Kelantan, Ir. Abdul Ariffahmi Ab. Rahman yang juga Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK) menimbulkan tanda tanya apabila masih tiada sebarang tindakan diambil sehingga hari ini.

Sehingga kini tiada sebarang kenyataan dikeluarkan pihak berkuasa malah Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) negeri, Mohd. Jaafar Hussen ketika ditemui pemberita hari ini enggan mengulas lanjut dan menjelaskan, kes itu bukan di bawah kendalian pihaknya.

Beliau memberi alasan kes itu disiasat secara langsung oleh ibu pejabat SPRM di Putrajaya.

"Kes itu dikendalikan oleh ibu pejabat SPRM. Anda boleh bertanya kepada mereka.

"Ini isu yang sangat sensitif, saya hanya boleh mengulas kalau dapat lampu hijau," katanya selepas menutup Seminar Pencegahan Rasuah Kontraktor-Kontraktor Negeri Kelantan 2009 di sini hari ini.

Pada 25 November lalu, media melaporkan proses siasatan oleh SPRM membabitkan Abdul Ariffahmi sudah hampir siap.

Pengarah Siasatan SPRM, Datuk Mohd. Shukri Abdull dilaporkan berkata, proses siasatan itu sudah mencapai 90 peratus dan sebaik siap akan diserahkan kepada Bahagian Pendakwaan SPRM untuk tindakan lanjut.

SPRM mula menjalankan siasatan ke atas Abdul Ariffahmi pada awal November lalu setelah timbul pelbagai dakwaan mengenai PMBK.

Ekoran itu, beberapa pegawai suruhanjaya tersebut mengunjungi pejabat Abdul Ariffahmi dua kali malah portal berita serta laman blog melaporkan beberapa dokumen telah diambil untuk membantu siasatan.

Siasatan SPRM itu dikatakan berkisar tentang salah guna kuasa Abdul Ariffahmi dan pelantikannya sebagai CEO yang dipercayai melanggar akta suruhanjaya berkenaan.

Isu itu kemudian memuncak apabila Pegawai Perhubungan Korporat PMBK, Syed Azidi Syed Abdul Aziz ditamatkan kontraknya secara mendadak.

Pada masa sama, Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mengakui beliau dan keluarganya menerima tajaan haji bernilai RM65,000 setiap seorang dan tajaan itu dikatakan turut melibatkan Abdul Ariffahmi serta beberapa ahli keluarganya.

Apabila isu itu mendapat liputan meluas media, Nik Abdul Aziz atas nasihat kepimpinan Pas Pusat mengarahkan menantunya itu meletakkan jawatan sebagai CEO PMBK.

Laporan dua:

Siasat tanpa had waktu

PUTRAJAYA 17 Dis. – Hak untuk menyoal saksi tanpa batasan masa dikembalikan semula kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) apabila Mahkamah Rayuan di sini hari ini membenarkan badan tersebut menjalankan siasatan melepasi waktu pejabat.

Panel tiga hakim mahkamah tersebut yang diketuai oleh Hakim Datuk Hasan Lah sebulat suara memutuskan, waktu siasatan tidak boleh dibataskan atau terhad dalam tempoh masa bekerja yang biasa.

Justeru itu, keputusan Hakim Mahkamah Tinggi (Bahagian Rayuan dan Kuasa-Kuasa Khas) Kuala Lumpur pada 19 November lalu yang memutuskan bahawa SPRM hanya boleh menyoal siasat dalam waktu pejabat antara 8.30 pagi hingga 5.30 petang, diketepikan oleh Mahkamah Rayuan.

Hakim Hasan yang bersidang bersama Hakim Datuk Ahmad Maarop dan Hakim Datuk Syed Ahmad Helmy Syed Ahmad turut memutuskan, Ahli Majlis Perbandaran Kajang (MPKj), Tan Boon Wah selaku responden dalam rayuan tersebut membayar RM10,000 sebagai kos kepada SPRM.

Suruhanjaya berkenaan melalui Ketua Suruhanjaya, Datuk Seri Ahmad Said Hamdan dan Penolong Penguasa SPRM Selangor, Mohammad Hassan Zulkifli dan SPRM selaku perayu mengemukakan rayuan setelah tidak berpuas hati dengan keputusan Hakim Mohamad Ariff Md. Yusof.

Pada tarikh tersebut hakim itu memutuskan, SPRM tidak boleh lagi menyoal siasat saksi hingga ke malam kerana Seksyen 30(3)(a) Akta SPRM 2009 tidak memberi kuasa untuk berbuat demikian.

Mahkamah Tinggi itu menyatakan, frasa ‘‘hari ke hari’’ dalam seksyen berkenaan bukan bermaksud 24 jam, tetapi merujuk kepada waktu bekerja biasa.

Hakim Hasan sebaliknya menegaskan bahawa mahkamah bersetuju dengan hujah Peguam Kanan Persekutuan Amarjeet Singh tentang pembahagian Seksyen 30 (1)(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah 2009.

Menurut Hakim Hasan, Seksyen 30(3)(a) akta tersebut jika diteliti tiada menetapkan atau memperuntukkan tempoh masa untuk SPRM menjalankan soal siasat.

Dalam akta tersebut, ujar hakim itu, tiada langsung menyebut bahawa SPRM hendaklah melakukan siasatan terhad dalam waktu pejabat 8.30 pagi hingga 5.30 petang setiap hari dan bukan selepas tempoh yang ditetapkan.

Menyentuh lanjut Seksyen 30(3)(a) akta tersebut, Hakim Hasan menyatakan bahawa ia terbahagi kepada dua bahagian. Iaitu dalam bahagian pertama membawa interpretasi bahawa tidak ada tempoh masa ditetapkan untuk merekodkan kenyataan saksi.

Bahagian kedua, frasa ‘hari ke hari’ pula adalah menunjukkan bahawa siasatan perlu diteruskan pada setiap masa (hari ke hari) sehinggalah selesai.

Terdahulu, panel hakim mendengar hujah Amarjeet yang menjelaskan bahawa Mahkamah Tinggi telah terkhilaf ketika membuat keputusan.

‘‘SPRM adalah satu badan istimewa yang ditubuhkan bagi menangani gejala rasuah menerusi pendekatan siasatan yang efektif.

‘‘Memandangkan kegiatan rasuah tidak mengenal waktu maka tempoh masa siasatan tidak boleh dihadkan, hanya dalam waktu pejabat. Pegawai SPRM sentiasa berada dalam tugas memandangkan perbuatan rasuah boleh dilakukan pada bila-bila masa,’’ kata Amarjeet.

Sehubungan itu tambah beliau, skop menjalankan siasatan tidak boleh disempitkan kerana interpretasi tersebut tidak betul.

Peguam Karpal Singh yang mewakili Boon Wah selaku responden memohon supaya mahkamah itu menolak rayuan yang dikemukakan oleh SPRM.

Menurut Karpal, keselesaan saksi mesti diutamakan kerana hasil siasatan yang lengkap boleh menjamin kepada satu sabitan yang tidak goyah.

Sejurus selepas keputusan, Ketua Bahagian Pendakwaan Undang-Undang SPRM, Datuk Abdul Razak Musa ketika ditanya memberitahu, keputusan tersebut memberikan pilihan kepada saksi untuk datang membantu siasatan suruhanjaya.

‘‘Dalam kekangan masa disebabkan kesibukan tugas, saksi boleh datang pada bila-bila waktu untuk keterangan mereka direkodkan kerana SPRM beroperasi 24 jam,’’ kata Abdul Razak.

Dalam perkembangan sama, Karpal ketika ditanya memberitahu bahawa pihaknya akan mengemukakan permohonan untuk merayu di Mahkamah Persekutuan.

Ini kerana menurut Karpal, keputusan itu membawa implikasi besar dan secara tidak langsung memberikan gambaran bahawa SPRM boleh membawa sesiapa sahaja ke premis mereka untuk direkodkan keterangan meskipun larut malam.

Walhal tambah Karpal, hak seseorang saksi perlu dijaga demi menjamin mereka sentiasa berada dalam keadaan yang selesa sepanjang disoal siasat.

Laporan satu;

Elektrik percuma bawah RM20 dilanjut Disember 2010

KUALA LUMPUR 17 Dis. - Berita baik untuk rakyat berpendapatan rendah apabila kerajaan bersetuju melanjutkan program pengecualian pembayaran bil elektrik berjumlah RM20 dan ke bawah untuk tempoh setahun lagi iaitu sehingga Disember 2010.

Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Peter Chin Fah Kui berkata, secara purata seramai 1.05 juta pengguna domestik yang kini menikmati pengecualian itu setiap bulan terus menerima manfaat.

Jelasnya, program itu sepatutnya tamat pada hujung bulan ini, namun disebabkan kedudukan ekonomi yang belum pulih selain keprihatinan kerajaan terhadap rakyat berpendapatan rendah, ia dilanjutkan setahun lagi.

''Program ini telah diperkenalkan pada Oktober 2008 iaitu semasa pembentangan Bajet 2009,'' katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di Parlimen, hari ini.

Menurutnya, sejak program itu diperkenalkan kerajaan telah menanggung kos purata sebanyak RM11.95 juta setiap bulan.

''Sehingga September tahun ini, sebanyak RM143.4 juta telah dibayar oleh kerajaan untuk menampung kos pengecualian bil ini.

''Dengan persetujuan kerajaan melanjutkan program ini, ia bermakna kerajaan akan menanggung sejumlah kos tambahan iaitu sebanyak RM143 juta lagi," katanya.


No comments: