Saturday, December 19, 2009

MUNCUL KEMBALI (581)

Langkah DAP tidak akan ke mana kalau parti itu ada agenda tersembunyi

BERPARTI politik dan pengamal politik mahu tidak mahu mesti ada agenda kerana agenda itu sendiri merupakan antara seni dalam permainan politik. Antara agenda setiap parti politik adalah untuk memberikan khidmat dan bakti terbaik kepada rakyat dan negara kerana kualiti parti politik dan pimpinannya akan sentisa dalam kepedulian dan penilaian rakyat selaku pengundi dan pemberi mandat.

Sama ada sesebuah parti itu akan menjadi parti yang akan membentuk kerajaan atau akan menjadi pembangkang, bergantung kepada mandat yang diberikan oleh rakyat melalui kuasa undi. Penilaian terhadap kualiti sesebuah parti politik dan kepimpinannya pula bergantung kepada sejauh mana rakyat mendapat penjelasan tentang matlamat dan tujuan sesebuah parti politik diwujudkan dan hala tujuan perjuangannya.

Justeru itu setiap parti politik serta pemimpin serta pendukung dan penyokong sesebuah parti poltik mestilah mampu meyakinkan rakyat bahawa ia adalah parti politik, pemimpin dan pendukung parti politik yang paling terbaik dari yang terbaik dan mengutamakan kepentingan rakyat dan negara melebihi kepentingan peribadi, keluarga dan puak sendiri.

Mana-mana parti politik tidak boleh ada agenda tersembunyi, sebaliknya segala agenda mesti dimaklumkan kepada para pengundi dengan jelas dan nyata. Ertinya matlamat dan wajah sebenar sesebuah parti kena jelas, tidak boleh beretorik tentang kumpulan sasar yang diharap menjadi pendukung dan penyokong serta juga agenda sebenar yang menjadi matlamat induk sesebuah parti politik dan kepimpinannya.

Misalnya Umno adalah parti dominan orang Melayu, MCA adalah parti orang Cina dan MIC parti orang India. Itu adalah hakikat yang kena diperakaukan dengan jelas lagi nyata dan tidak boleh dinafikan. Maknanya dalam berpolitik masing-masing akan mengutamakan perjuangan untuk bangsa yang mendominan parti-parti berkenaan tetapi atas nama Barisan Nasional (BN), maka suara ketiga-tiga parti mewakili sukum kaum terbesar di negara ini serta parti-parti komponen yang lain, kena sentiasa senada dan seirama.

Tujuh kali mati dan tujuh kali hidup semula pun tidak akan ada yang percaya, malah ianya akan menjadi amat janggal kalau dikatakan Umno turut membela orang Cina dan India, MCA turut membela orang India dan Melayu serta MIC turut membela Cina dan Melayu. Yang membela semua kaum adalah atas nama BN dan sebagai komponen BN, setiap parti politik anggota komponen tanpa mengira mewakili kaum mana kena saling bertoleran demi kepentingan BN dan kerajaan yang diwujudkan atas nama mandat yang diberikan kepada BN.

Oleh itu pada saya kalau benarlah DAP ada agenda tersembunyi, langkah parti itu tidak akan ke mana. Malah mana-mana parti politik sekali pun kalau ada agenda tersembunyi, terutama kalau agenda itu berunsur ada sikap tidak jujur terhadap masyarakat majmuk di negara ini, maka langkahnya tidak akan panjang kerana rakyat jelata semakin bijak membuat penilaian.

Rakyat akan meluat kepada mana-mana parti politik yang asyik bermain politik pada setiap saat dan ketika serta dalam semua keadaan sehingga tujuan dan matlamat penubuhan parti politik untuk memberi khidmat dan bakti terbaik kepada rakyat dan negara terabai. Parti politik yang terlalu kemaruk berpolitik akan semakin renggang dari hati rakyat pelbagai kaum di negara ini yang semakin matang dan berpengalaman dalam berpolitik.

Kecenderungan berpolitik setiap saat dan ketika serta dalam semua keadaan akan hanya menarik kecenderungan kalangan otodoks dan yang masih berfikiran ala era putung berasap yang mana kalangan sedemikian rupa semakin kecil bilangannya kerana rata-rata kalau pun ada yang masih hidup, mereka kini sudah semakin dimamah usia.

No comments: