Ihya' Ramadan
Kalau berkata buruk dilarang, macam mana doa kemusnahan dibolehkan?
oleh
RAMLI ABDUL HALIM
PENULIS bukan alim tetapi penulis mengaji sekolah agama lebih kurang. Penulis tidak hafal al-Quran tetapi penulis banyak merujuk terjemahan al-Quran dan sentiasa merujuk Terejemahan Hadis Sohih Muslim Jilid I,II,III dan IV serta Terejemahan Hadis Sohih Bukhari Jilid I,II,III dan IV bila ada isu yang meragukan.
Justeru nak kata penulis tahu sangat tentang hal agama, penulis tak mengaji sampai ke peringkat sarjana dalam bidang keagamaan, malah sampai ke peringkat diploma pun tidak. Nak kata tak tahu langsung, penulis mengaji sekolah agama, penulis baca surah al-Asyr dan selami terjemahan ayat itu tentang apa yang Allah mahu hamba-Nya lakukan melalui surah berkenaan.
Cari-cari punya cari ayat, penulis temui ayat 148 dan ayat 149 Surah An-Nisaa' yang menjelaskan bahawa Allah tidak sukakan ucapan buruk. Jadi penulis hairan dan pelik teramat sangat macam mana ada tokoh yang berligar-ligar di tengah masyarakat membawa imej ulamak boleh mendoakan kemusnahan masa depan orang lain.
Hal ini berlaku tidak lama dulu dan ramai yang telah mengaminkan doanya di samping ramai yang yakin orang yang kena doa akan pecah perut sebagaimana yang didoakan. Mujurlah setakat ini nampaknya doa itu belum dimakbulkan. Tidak tahulah pada masa-masa akan datang kesan daroi doa yang diaminkan oleh ribuan orang.
Supaya mereka yang memperakukan kehebatan doa tokoh berkenaan boleh statik dengan perakuan masing-masing, tokoh terbabit patut dan perlu jelaskan berdasarkan ayat nombor berapa dalam surah mana daripada 6,236 keseluruhan ayat al-Quran dengan 4,780 ayat dari Surah Makkiyyah dan 1,456 lagi ayat dari Surah Madaniyyah serta hadis yang mana beliau rujuk yang menghalalkan doa kemusnahannya, terutama kepada sesama Islam.
Dalam menghadapi kejahatan dan keganasan kafir Quraisy, Rasulullah s.a.w. tidak pernah pun mendoakan kemusnahan termasuk terhadap Abu Jahal dan Abu Lahab. Yang menyumpah dan melaknat Abu Lahab adalah Allah sendiri tetapi Rasulullah s.a.w. sepanjang pengetahuan penulis serakat ini, tidak berbuat demikian.
Kalau Rasulullah s.a.w. tidak pernah mendoakan kemusnahan umat baginda, sebaliknya didoakan agar dibuka pintu hati umat baginda untuk Islam, maka siapa kita sebagai umat baginda untuk mendoakan kemusnahan terhadap umat baginda yang sangat disayangi baginda?.
Apakah kejahatan individu nyang didoakan oleh tokoh yang berimej alim dan ramai yang percayanya mulutnya masin, sama dengan kejahatan Abu Lahab dan hamla-hamla zaman Jahiliah? Bukankah tokoh yang didoakan kemusnahan itu juga beriman dengan Rukun Islam yang lima dan Rukun Iman yang enam.
Cuma beliau bukan orang dari parti politik yang sama dengan si pendoa kemusnahan. Tidak semestinya orang yang bukan ahli dan penyokong parti kita bukan Islam kerana di dunia pada waktu ini ada berbilion-bilion umat Islam bukan ahli dan penyokong kepada parti politik yang kononnya parti politik Islam, malah sejak era Nabi Adam hingga ke saat 51 tahun ke mari, sekalian manusia yang beriman bukannya ahli dan penyokong kepada parti yang didukung dan disokong oleh tokoh pendoa kemusnahan yang mana partinya pun hanya baru wujud kira-kira 51atau 52 tahun yang lampau.
Apakah hanya kerana masalah-masalah tertentu yang tidak melabakan parti yang didukung dan disokong, maka ada individu yang kena menerima doa kemusnahan masa depannya yang mana doa sedemikian tidak pun didoakan terhadab Abu Lahab oleh Rasulullah s.a.w.
Mungkin doa kemusnahan itu dilakukan kerana didorong oleh rasa marah. Walaupun marah dibolehkan tetapi Allah sayangkan orang yang menahan kemarahan sebagaimana firman Allah yang terjemahannya adalah seperti berikut;"Dan orang-orang yang menahan kemarahannya, dan orang-orang yang memaafkan kesalahan orang, dan (ingatlah), Allah mengasihi mereka yang berbuat perkara-perkara baik" - Ali 'Imran:143.
Kalau Allah melalui al-Quran menjelaskan orang yang menahan kemarahan dikasihi-Nya, kenapa kita mesti jadi pemarah dan tidak memilih menjadi orang yang menahan kemarahan. Kenapa kita memilih jadi yang sanggup doakan kemusnahan orang yang mana tidak mustahil doa itu akan menimpa kepala pendoa itu sendiri akhirnya.
Perhatikan juga terjemahan ayat berikut: "Tiada kebaikan pada kebanyakan bisik-bisikan mereka, kecuali (bisik-bisikan) orang yang menyuruh bersedekah, atau menyuruh berbuat kebaikan, atau menyuruh perdamaian antara manusia. Dan sesiapa yang berbuat demikian dengan maksud mencari keredhaan Allah, tentulah Kami akan memberi kepadanya pahala yang amat besar" - Al-Nisa':114.
Juga ada besar menfaatnya jika diselami apa yang tersurat dan yang tersirat di sebalik terjemahan ayat ini: "Dan siapakah yang lebih baik perkataannya daripada orang yang menyeru kepada (mematuhi perintah) Allah, serta dia sendiri mengerjakan amalan soleh, sambil berkata: sesungguhnya aku ialah dalam kalangan Muslimin!. Dan tidaklah sama kebaikan dan kejahatan. Tolaklah (kejahatan) dengan cara yang lebih baik; maka (engkau akan dapati) orang yang menaruh rasa permusuhan terhadapmu, dengan serta merta akan menjadi seolah-olah seorang sahabat.Dan sifat yang terpuji ini tidak dapat diterima dan diamalkan melainkan oleh orang-orang yang sabar, dan tidak juga dapat diterima dan diamalkan melainkan oleh orang yang mempunyai bahagian yang besar (dari kebahagiaan dunia dan akhirat" - Fussilat: 33-35.
Terjemahan ayat berikut juga patut diselami dan dihayati: "Dan jika dua puak daripada orang-orang yang beriman berperang, maka damaikanlah antara keduanya; jika salah satunya berlaku melampau terhadap yang lain, maka perangilah puak yang melampau itu sehingga mereka kembali mematuhi perintah Allah; jika mereka kembali patuh, maka damaikanlah antara keduanya dengan adil, serta berlaku adillah kamu (dalam segala pekara): sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil. Sebenarnya orang-orang yang beriman itu bersaudara, maka damaikanlah di antara dua saudara kamu (yang bertelingkah) itu; dan bertaqwalah kepada Allah supaya kamu beroleh rahmat" - Al-Hujurat: 9-10.
Penulis akhiri tulisan kali ini dengan Sabda Rasulullah s.a.w, bermaksud: "Mahukah kamu aku khabarkan amalan yang lebih tinggi darjatnya daripada puasa dan solat? Jawab para sahabat: Bahkan. Sabda baginda: mendamaikan hubungan, kerana rosaknya hubungan itu adalah pencukur (mencukur agama)" - Riwayat Abu Daud, dinilai sahih oleh al-Albani.
Penulis akan terus mencari jawapan kepada pertanyaan penulis pada diri penulis sendiri, kalau berkata buruk dilarang, macam mana doa kemusnahan dibolehkan? Ayat dan hadis berkaitan akan penulis cuba mencarinya dan Insyaallah penulis akan menuliskannya pada kesempatan yang lain jika ayat berkaitan ditemui.
Harus diingat kerana doa, seorang orang alim pada zaman Nabi Musa a.s. yang sangat mustajab doanya mati masuk neraka kerana doa kemusnahannya gara-gara terpengaruh dengan pujuk rayu penuh berahi isteri yang sangat disayanginya.
Orang alim itu memilih berdoa dalam kandang kuda dengan harapan doanya tidak akan makbul bila berdoa di tempat kotor setelah isterinya disogok dengan 15 kati emas oleh Firaun. - Penulis adalah bekas pelajar Madrasah Al-Balaghulmubin Rong Chenak, Tok Uban, Pasir Mas Kelantan dan merupakan pengamal media sejak tahun 1973.
Nama & Alamat Penuh Penulis;
RAMLI ABDUL HALIM (K/P:561020-03-5201)
2594, lOT 146, Jalan Sultanah Zainab,
15000 Kota Bharu,
Kelantan.
Tel:017-9871322
Thursday, August 19, 2010
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment