Wajibkan kepujian subjek sejarah: langkah UiTM patut diteladani
APA pun nada pro dan kontranya, langkah UiTM mensyaratkan kepujian subjek sejarah untuk mengikuti kursus-kursus di universiti berkenaan adalah sesuatu yang bukan sahaja patut dibanggakan tetapi juga patut diteladani oleh pusat-pusat pengajian tinggi yang lain sama ada universiti awam atau swasta.
Ini adalah kerana walaupun matapelajaran sejarah tidak bersifat global dan bukannya menjadi keperluan global seperti subjek sains dan matematik, namun bagi kepentingan mewujudkan bangsa yang taat setia dan tahu bersyukur kerana ditakdirkan jadi warga negara ini, mengenali, mempelajari dan menghafal sejarah bangsa dan negara menjadi satu keperluan.
Sebagaimana bahasa mencerminkan identiti dan bersifat trademark kepada sesuatu bangsa, maka sejarah pula adalah pemangkin kepada kehebatan dan ketamadunan bangsa dan negara. Warganegara yang buta sejarah bangsa dan negara tidak akan menyayangi bangsa dan negaranya.
Bangsa yang sayangkan bangsa dan negara tidak akan melibatkan diri secara langsung atau tidak langsung dalam apa-apa aktiviti yang boleh merosakan imej dan reputasi bangsa dan negara sama ada dalam kegiatan perdagangan dan pengedaran dadah, demonstrasi jalanan, perlakuan jenayah atau pun memburuk-burukkan negara di luar negara.
Apa sumbangan negara dan bangsa kepada kita tidak akan ditanya oleh bangsa yang sayangkan bangsa dan negara, sebaliknya akan ditanya apa sumbangan yang telah kita berikan dalam memastikan kestabilan politik, ekonomi, keselamatan, ketenteraman awam, hubungan antara kaum dan hubungan antarabangsa terpelihara.
Kalau ianya seorang pemain politik, seorang yang terlibat dalam perniagaan, kakitangan di sektor awam swasta, malah kalau ianya seorang buruh, penoreh getah, penternak, nelayan, pelajar atau penganggur yang sayangkan bangsa dan negara, apa pun yang telah dilakukan, sedang dan akan dilakukanakan dipastikan memberi laba kepada bangsa dan negara dan akan dielak dari kemungkinan berlakunya sebarang kemudharatan.
Bagi mewujudkan warganegara yang sedemikian, yang sayangkan bangsa dan negara, maka mereka kena kenal, mempelajari dan menghafal sejarah. Justeru itu bagi saya langkah UiTM mensyaratkan kepujian subjek sejarah bagi pengambilan pelajarnya pada sesi akan datang adalah satu langkah bijaksana dan berpandangan jauh.
Hanya kalangan yang sukakan negara huru hara dan yang mahukan kestabilan ekonomi, politik, keselamatan, keamanan, hubungan antara kaum dan hubungan antarabangsa tergugat dan terancam sahaja akan menentang langkah UiTM itu yang diharap akan statik dengan keputusan yang telah pun dibuat.
Sunday, November 7, 2010
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment