Saturday, December 11, 2010

MUNCUL KEMBALI (904)

Temui damai di Sokor

KALAU Dahlan Zainuddin berbekalkan gitar tua ke ibu kota dengan harapan menjadi seorang biduan, aku berbekalkan sebatang pensel meninggalkan kampung halaman kira-kira 31 yang lampau menerjuni bidang kewartawanan dan penulisan kreatif dengan matlamat untuk nantinya Rong Chenak kampung kelahiranku tidak akan lesu dan terbiar sebagai sebuah kampung pedalaman.

Banyak suka duka ditempohi. Kerana kesibukan tugas yang sentiasa bermain dengan masa, Rong Chenak yang merupakan kampung tempat aku dilahir dan dibesarkan jarang ada kesempatan dikunjungi, kalau pulang pun hanya sekejap, bak burung yang hanya hinggap sekejap melepas lelah untuk kemudiannya meneruskan penerbangan ke benua demi benua.

Aku besar dalam hanyir lumpur sawah, dalam kohong bau 'pok getah'. Hidup serba susah. Sebuah kampung pedalaman yang dikelilingi sungai dan sukar perhubungan, apa sangatlah kemudahan yang ada.

Tidak ada PS-2, permainan masa kanak-anak hanyalah bola katak, lompat gagak, coh, congkak, bidas para, menusut, tong (berambat), tong kopi, catnye, susut jarung. TV dan radio tidak ada. Cerita-cerita lisan diceritakan oleh kalangan orang tua, sesekali tengok permainan wayang kulit, makyong, menora, dikir barat, dikir rebana, perlawanan kertuk dan rebana belaga (kerincing)

Sebulan sekali dapat merasa ikan tambang beluru dikukus adalah sesuatu yang membanggakan kerana ianya dikatakan datang dari lautan yang ketika itu bagaimana bentuk rupa lautan pun tidak aku ketahui.

Yang menjadi hidangan rutin adalah ikan airtawar: tumang, sembarau, tapah, tengas, kelabai, lampam, terebur, memperas, bujuk, tenggelang, lambak, mengkepal/patung, belida, kaloi, tebakang, haruan, keli, mempuyu/anak butir nangka dan lain-lain.

Sesekali dapat menikmati daging napuh, burung reruak, burung sita, punai, belibis, kedidi pantai, mentiruk, kedidi ongik, burung bangau, ayam hutan dan burung-burung kecil seperti merebah hinggalah ke burung sumpah puteri sama ada hasil tahan jerat, jebak, racit, dilastik, ditebah atau menggetah.

Musim permulaan hujan dapatlah menikmati keenakan kulat pusu, kulat susu kambing, kulat ddukung anak, kulat telinga kera, kulat sisir dan kulit tiong. Pada waktu kemarau ada peluang menikmati keenakkan kulat padang, kulat minyak dan kulat jenarah.

Sarapan paling utama pada waktu pagi adalah ubi kayu, ubi stelo, ubi badak, ubi takrok, ubi keling atau pun gadung digaul nyior. Ubi kayu cecah jeruk jering adalah seperkara yang bukan luar biasa, malah jeruk butir getah pun pernah aku tankedarah.

Itu pengalaman 31 tahun ke bawah, ketika akan belum menjadi penghijrah dari kampung serba terpencil yang kemudiannya sering berkumandang di radio mengiringi namaku apabila aku menghasilkan skrip-skrip drama radio.

Dengan sebatang pensel aku bangkitkan semangat anak-anak kampungku, malah memberi warna kepada kampungku, kini ianya bukan lagi sebuah perkampungan yang terbiar dan dihina walaupun aku sebagai warganya sedang berdepan dengan suatu penghinaan pada usia emas.

Aku membesar dalam penuh kehinaan kerana dilahirkan di kampung yang sangat terpencil dan pernah dilabel sebagai kampung tempat 'jin bertandang/bertendang, ertinya aku memang patut menghadapi hari tua dalam kehinaan dan akan mati membawa kehinaan ke liang lahad.

Pun begitu aku bangga, kalau pun aku terpaksa hadapi sisa-sia usia dalam penuh kehinaan dan mati dalam kehinaan, kerana kampung dan anak kampungku tidak akan terhina dan dihina. Dari kampungku lahir beberapa cendekiawan walaupun impianku untuk menjadi cendekiawan tidak kesampaian.

Jumaat 10/12/2010 jemputan sahabat lama Noor Ibrahim (Abe Noor Perabot) ke Hutan Simpan Sokor, satu kawasan pedalaman di Jajahan Tanah Merah, mengembalikan daku kenangan 31 tahun yang lampau dan kehidupan zaman kanak-kanak dan remajaku.

Untuk makan tengahari kami petik pucuk-pucuk paku, untuk dapatkan lauk kami menjala ikan di sungai, untuk dapatkan ulam kami petik buah ara kambing di tebing sungai.

Berada pada kawasan tanpa bekalan elektrik dan deruan injin kenderaan cukup mendamaikan. Aku yang masak dan kami makan dengan banyak, selera cukup terbuka. Pada saat ini tidak ada langsung rasa mahu jadi kaya dan peri mustahaknya kekayaan.

Banyak air mataku tumpah melihat alam semula jadi Sokor yang tidak jauh bezanya dengan kampung halaman ketika zaman kanak-kanak dan remajaku. Bezanya aku dan rakan sebaya dulu bermain lumpur sambil menggagau ikan haruan, becap, keli dan mempunyu dalam kubang, di Sokor ada budak bermain lumpur membantu bapa mereka menggali pasir dan dicurah ke atas air deras yang dibawahnya diletak karpet untuk mendapatkan biji emas kerana Sokor adalah kawasan emas.

Tapi aku dan Abe Noor ke Sokor bukan kerana emas, lebih-lebih lagi aku ke sana kerana menerima jemputan spontannya: kami menanam pokok-pokok depu dalam semak kawasan hutan simpan.

Abe Noor sudah berusia lebih 60 tahun dan aku 54 tahun. Bila aku tanya Abe Noor untuk siapa ditanam, sedangkan tanah itu bukan milinya, kata Abe Noor untuk jenerasi akan datang.

Kononnya sebaik sahaja pokok ditanam, pokok akan bertasbih untuk orang yang menanamnya dan bumi akan bergembira kerana ia dimenfaatkan. Kata Abe Noor jangan fikirkan esok kita akan dapat hasil dari pokok yang ditanam yang akan mengambil masa puluhan tahun untuk besar, yang kena difikirkan generasi akan datang akan menikmati hasilnya, buah dari pokok mungkin akan dapat memberi sumber makanan kepada haiwan, mereka juga makhluk yang tahu bersyukur bila diberi nikmat.

Aku pernah bercakap dengan Ahmad Hassan, orang Iraq, seorang yang pakar dalam biotik, katanya pokok juga mkahluk yang hidup, bila menerima pertolongan ianya akan menolong orang yang ditolong. Kalau ditolong tanam dan dibajakan, pokok akan tolong bagi buah kepada penanamanya sebagai balasan.

Abe Noor juga kata, bila sepokok pokok kayu ditanam tanpa niat untuk dapat apa-apa laba, malah mungkin akan dianggap gila kerana menamam dalam semak di kawasan yang bukan milik sendiri, pasti akan dapat ganjarannya serta merta melalui saluran yang tidak akan diduga.

Terbukti kata Abe Noor itu ada benarnya. Walaupun aku hanya tanam 10 pokok depu di Hutan Simpan Sokor semalam, nampaknya hari ini aku diberi rezeki dan aku mula percaya bahawa rezeki bukannya datang kerana kuat bekerja siang dan malam tetapi sejauh mana ikhlasnya kerja dilakukan tanpa niat mahu laba.

Tidak mustahil Sokor akan terus menjadi destinasi ku bagi mempelajari falsafah hidup, untuk mengenal diri dan tujuan hidup dari sumber alam sekitar serta dalam tasbih pokok, unggas dan haiwan liar.

Aku mula jatuh cinta kepada kehidupan tanpa elektrik, tanpa deruan enjin kereta dan kekalutan manusia yang berlumba-lumba mempamerkan keegoan kerana dalam suasana begitulah aku dilahir dan dibesarkan, tanpa ada keegoan, keangkuhan, kesombongan dan keriakkan.

Tidak mustahil Sokor akan menjadi tempat habis nafasku dan menjadi pusaraku yang barangkali akan sepi dari bacaan Ya-Sin, zikir dan tahlil dari bini, anak-anak dan cucu-cucu tetapi akan sentiasa dalam tasbih pokok, unggas dan haiwan liar.

Dari desa serba sepi dan terpinggir aku datang, tidak mustahil pada daerah yang sepi dan terpinggir juga aku akan kembali ke alam abadi kerana aku lebih rela nampak hina lagi diperhinakan di sisi sekalian makhluk di dunia ini asalkan hidup abadiku dimuliakan-Nya, aku bersedia untuk menangis di dunia initetapi aku tidak sanggup meraung di akhirat kerana siksaan-Nya.

Berada di Hutan Simpan Sokor menyedarkan aku bahawa hidup ini sebenarnya penuh dengan kesepian dan kesepian itu adalah suatu keindahan bagi yang mahu memantapkan iman dan takwa.

Tidak hairanlah apabila ada yang memilih bertapa untuk jauh dari manusia untuk mencari damai sejati dan aku temuinya di Sokor. Rasulullah s.a.w. sendiri memilih mengasingkan diri di Gua Hira'.

Aku jatuh cinta pada Sokor bukan kerana kekayaan logam emas di perut buminya tetapi kerana keindahan alam semulajadinya serta kerana ia mampu memberikan kedamaian dan keinsafan tentang betapa kerdilnya kehidupan kita sebagai manusia.

6 comments:

Anonymous said...

rasa sedih baca entri kali ni.

ore kuala krai

Anonymous said...

Salam Abe Li. Tulisan yang mempersonakan.Mengingatkan nostalgia saya masa kecik. Saya juga lahir di kampung (Kedah) 50 tahun lalu. La ni tinggal di KL. Saya sering mendambakan kehidupan kampung yg damai. Harap2 satu hari nanti dapat pulang menetap di kampung untuk menghabiskan usia.
bromal

Anonymous said...

Semacam Abe Li tahu dia sudah berada di hujung kehidupan. Abe Li sakit ke? Melilih air mata saya membaca posting kali ini

Anonymous said...

Kak Lah bini ore tino Abe Li branak di bandar kosmopolitan 'kan. Dia tak pernah hidu bau hanyir lumpur sawah, dan bau kohong bau 'pok getah'. Dia tentu baka orang kaya. Dia tak kenal ikan tumang, sembarau, tapah, tengas, kelabai, lampam, terebur, memperas, bujuk, tenggelang, lambak, mengkepal/patung, belida, kaloi, tebakang, haruan, keli, mempuyu/anak butir nangka dan lain-lin. Kulat susu kambing, kulat ddukung anak, kulat telinga kera, kulat sisir dan kulat tiong, kulat padang, kulat minyak,kulat jenarah, kulat pusu kho tak kenal. Bokali tengok orang makan ubi kayu, ubi stelo, ubi badak, ubi takrok, ubi keling atau pun gadung digaul nyior dia nak muntah. Tmbah-tambah kalau tengok orang makan ubi kayu cecah jeruk jering, maka jeruk butir getah macam Abe Li kata. Ambo tengok dia dok makan dngan gu-gu dia di KF, nampak cara dia makan macam orang darat. Eja nama pun jenis darat. Dia ni asal badar kosmopiltan mano Abe Li, cara dia pakai, make-up dan cara brcakap pun over, nampak tak berapa sega mana. Tak pelik kalu dia boleh tingalkan Abe Li dan anak-anak, nampak jenih tak brapa tau dosa palo.

Anonymous said...

salam,
Lama dok hantar komen disini, tetapi sentiasa jugok jengok jengok,Anak kelahiran tahun 50an sememangnya sedikit sebanyak merasai keperitan hidup,bukan abang li sorang saja rasanya,kalu nak diceritakan memang bolih dibuat cerpen panjang berjela , hidup dizaman yang belum ada kemudahan asas tetapi keadaan hari ini nampak gayanya seperti kata pepatah "ayam mati dikepuk,tikus mati didalam baloh",bakpo gitu? samo samolah kita mencari jawapan nya...

melikapakjangak said...

MOHON KERJASAMA:
Hakikatnya bini saya adalah ibu kepada anak-anak saya. Buruk di mata orang lain tetap mulia di sisi saya dan anak-anak. Sikap bini saya sekarang pada saya bukan watak dia sebenar yang saya kenal dan berkongsi hidup selama 31 tahun.

Bagi saya dia sekarang berada dibawah pengaruh syaitan dan iblis dan dia barangkali keliru dengan ujian yang ditimpa ke atasnya setelah dia pilih untuk mendekati Allah dengan memilih menyertai muslimat Pas. Orang yang meminati Islam dan ingin menjadi lebih baik akan terdedah kepada ujian walau apa saluran dan pendekatan yang digunakan sekali pun.

Kami anak beranak berdoa semuga dia kembali menjadi wataknya yang asal. Semuga Allah jauhi dia dan lindungi dia dari godaan syaitan dan iblis, termasuk dari manusia yang rupanya sahaja manusia sedangkan hati budi adalah berupa syaitan dan iblis.

Soal kami akan terus berkongsi hidup sebagai suami isteri atau sebaliknya, itu bak lain. Bergantung kepada jodoh masih panjang atau pendek. Yang penting dia kena kembali kepada watak asal, sedar akan asal usul serta bertaubat nasuha dari apa jua dosa yang dilakukan sama ada secara sedar atau luar sedar pada usia yang semakin senja.

Sehubungan dengan itu saya mohon kerjasama para penjenguk supaya tidak lagi menujukan komen berbentuk sindiran, cercaan dan kutukkan terhadap bini saya, apatah lagi sampai diungkit pasal baka kerana baka dia adalah baka saya juga.

Bayangkan betapa pilunya anak-anak saya kalau mereka terbaca komen gara-gara sikap ibu mereka, maka ada yang meminta supaya jangan diambil kitup buat baka. Hakikatnya anak-anak saya tidak minta dilahirkan, mereka tidak minta dilahirkan sebagai anak Meli dan anak Penghulu Kak Lah, berbakakan Meli dan Tok Penghulu Kak Lah.

Anak-anak saya dilahirkan dari perkahwinan yang sah antara saya dengan bini saya. Mereka anak-anak suci yang tidak patut dipandang jijik gara-gara silap ibu mereka yang barangkali sedikit tersasar kerana keliru dengan ujian Allah terhadapnya. Juga barangkali kerana kegagalan saya sebagai suami dan bapa.

Tiga dari empat anak perempuan saya sudah berkahwin dan saya perhatikan mereka menjadi isteri dan ibu yang taat dan bertanggungjawab, malah membanggakan para mertua mereka. Seorang lagi anak perempuan saya belum berkahwin dan masih belajar di sebuah universiti tempatan. Dua lagi lelaki.

Malah anak sulung saya seorang yang sangat tabah dalam menghadapi ujian hidup apabila ditakdirkan bersuamikan seorang yang bagi saya seorang lelaki yang sangat tidak berkulaiti. Banyak air mata saya tumpah memikirkan nasibnya, masa depannya serta anak-anaknya, cucu-cucu saya. Dia sedang menjadi mangsa keadaan.