Sunday, December 19, 2010

MUNCUL KEMBALI (916)

Taraf, kedudukan tidak sama punca penceraian
(dipetik dari laporan Utusan Malaysia)

KUALA LUMPUR 19 Dis. - Tahap pendidikan dan ekonomi golongan wanita yang semakin meningkat dikhuatiri antara punca utama berlakunya penceraian di kalangan pasangan suami isteri pada masa kini.

Peguam Syarie, Datuk Khairul Anwar Rahmat berkata, berdasarkan pengalamannya mengendalikan kes-kes penceraian pasangan beragama Islam, faktor tersebut didapati semakin berleluasa atas beberapa sebab.

"Si isteri yang mempunyai kerjaya dan pendidikan serta taraf ekonomi lebih baik berbanding suami didapati mudah berasa bosan dengan kedudukan suami yang lebih rendah.

"Golongan isteri ini juga akan hilang rasa hormat terhadap suami apabila mereka terlalu biasa dengan kehidupan sebagai pemimpin di tempat kerja atau di dalam masyarakat. Jadi jalan penyelesaian adalah bercerai," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyampaikan ceramah berkaitan Undang-Undang Keluarga Islam anjuran Pergerakan Puteri UMNO Bahagian Petaling Jaya Selatan (PJS) dekat sini, hari ini.

Selain ceramah, kursus pengurusan jenazah turut diadakan pada program sehari itu.
Khairul Anwar berkata, berdasarkan pengalamannya, sebanyak tiga daripada 10 kes penceraian yang dikendalikannya kini adalah disebabkan kedudukan dan taraf isteri yang melebihi si suaminya.


"Pada hari ini kita melihat ramai wanita yang berkelulusan tinggi berbanding lelaki. Jadi ini sebenarnya menjadi cabaran pada kaum lelaki untuk memperbaiki tahap ekonomi, pendidikan dan sosial mereka.

"Bagi si isteri pula, mereka akan mampu mempertahankan perkahwinan jika mereka patuh dan sedar tanggungjawab sebagai isteri walaupun suami tidak sama taraf dengan mereka. Jangan bawa sikap pemimpin di tempat kerja ke rumah," katanya.

Beliau berkata, amat penting bagi wanita hari ini memilih suami yang 'sekufu' atau setaraf dengan kedudukan mereka supaya dapat mengelak berlakunya penceraian.

Dalam pada itu, Ketua Puteri UMNO Bahagian PJS, Jamilah Hanim Othman berkata, pihaknya akan terus mengadakan program ceramah dan kursus sedemikian di kawasan tersebut bagi mendidik golongan muda tentang pentingnya pengetahuan berhubung undang-undang keluarga Islam.

Katanya, program tersebut mendapat maklum balas positif daripada penduduk di kawasan itu terutama di kalangan generasi muda yang mahu melengkapkan diri dengan pengetahuan agama.
"Kita mahu membuka ruang dan peluang kepada mereka untuk sama-sama mendalami dan mempelajari aspek-aspek penting dalam soal agama ini," katanya.

No comments: